fb fb fb fb fb

123 terbunuh dalam 24 jam: Serangan terkini Israel tingkat krisis kemanusiaan di Gaza

Foto AFP

BATULMAQDIS, 13 Ogos -Sekurang-kurangnya 123 penduduk Palestin di Gaza terkorban dalam tempoh 24 jam selepas tentera Israel melancarkan serangan secara besar-besaran pada Rabu, dalam usaha berterusan mereka untuk mengambil alih semula Gaza.

Angka kematian itu merupakan yang tertinggi dalam seminggu, menambah kepada jumlah korban nyawa yang terus meningkat akibat perang berpanjangan hampir dua tahun, yang telah memusnahkan infrastruktur, meruntuhkan hospital dan memaksa ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Dalam temu bual bersama saluran i24NEWS, Benjamin Netanyahu sekali lagi menyuarakan hasrat untuk "mengosongkan" Gaza, satu kenyataan yang disambut oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Cadangan tersebut bagaimanapun dikecam hebat oleh pemimpin dunia Arab dan masyarakat antarabangsa yang menyifatkannya sebagai usaha sistematik untuk mengusir penduduk asal Gaza dan mengulangi sejarah hitam Nakba 1948 ketika ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat kekejaman dan pengusiran paksa oleh rejim Zionis.

Sementara itu, penduduk Gaza terus berdepan penderitaan yang tidak berkesudahan, dengan serangan demi serangan memusnahkan rumah, kemudahan awam dan mengorbankan nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Komuniti antarabangsa digesa untuk mengambil tindakan tegas dan segera menghentikan kekejaman yang sedang berlaku. – REUTERS

TETITIA YUSOFF