ISLAMABAD, 14 September - Sekurang-kurangnya 12 tentera Pakistan terbunuh dalam satu serangan hendap oleh militan Islamis ke atas konvoi tentera di Waziristan Selatan, barat laut Pakistan, berhampiran sempadan Afghanistan pada Sabtu.
Menurut kenyataan tentera Pakistan, insiden di kawasan pergunungan Badar itu mencetuskan pertempuran sengit, mengorbankan 12 anggota tentera dan 13 militan.
Pegawai keselamatan memaklumkan sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam kejadian tersebut.
Kumpulan Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan selain mendakwa turut merampas senjata dan dron daripada tentera Pakistan. - REUTERS