MEXICO, 22 Februari- Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap di negeri Guerrero, selatan Mexico.
Menurut Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, lima mayat rentung ditemukan pada Selasa.
Katanya, pertempuran berkenaan berlaku di kawasan pergunungan Las Tunas.
"Kejadian disebabkan pergaduhan antara dua kumpulan penjenayah. Setakat ini 12 kematian telah disahkan. Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi di kawasan tersebut. Maklumat lanjut akan dikongsi dari masa ke masa," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada jumlah terbabit termasuk lima yang dilaporkan maut sebelum ini.
Media tempatan melaporkan bahawa pertempuran berkenaan membabitkan kumpulan jenayah dikenali La Familia Michoacana dengan Los Tlacos.
Kumpulan tersebut dikatakan bersaing untuk merampas tempat itu. - AFP