(Foto AFP)
GUAYAQUIL, ECUADOR, 19 Mac- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala seorang cedera dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan Peru dan Ecuador, pada Sabtu.
Bangunan musnah, kenderaan remuk dan serpihan boleh dilihat di bandar seperti Machala dan Cuenca di Ecuador, ketika pegawai penyelamat bergegas menghulurkan bantuan.
Presiden Ecuador, Guillermo Lasso berkata setakat ini 12 kematian dilaporkan (11 di wilayah El Oro dan satu di wilayah Azuay).
"Saya menggesa orang ramai untuk kekal tenang dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi mengenai kerosakan bangunan," katanya menerusi kemas kini di Twitter.
(Sebahagian bangunan yang musnah akibat gempa bumi
di bandar Machala, Ecuador pada 18 Mac 2023/Foto AFP)
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberitahu gempa itu berlaku pada magnitud 6.8 skala Ritcher dan kedalaman hampir 41 batu (66 kilometer), berlaku pada 12.12 tengah hari waktu tempatan.
Pusat gempa adalah di perbandaran Ecuadoran Balao, berhampiran sempadan Peru, kata pihak berkuasa.
Gegaran itu juga kuat dirasai di bandar lain termasuk Guayaquil, Quito, Manabi dan Manta.
Di Peru, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan besar dilaporkan setakat ini, di mana gempa bumi kelihatan kurang kuat.
Namun, di wilayah El Oro, tiga orang dilaporkan maut apabila sebuah menara tumbang dan menghempap mereka.
Pengarah Institut Geofizik Ecuador, Mario Ruiz dalam temu bual dengan radio FM Mundo berkata ia adalah magnitud yang agak tinggi untuk negara itu.
Pihak berkuasa seismologi Peru pada mulanya melaporkan magnitud 7.0, tetapi beberapa jam kemudian menurunkan magnitud tersebut kepada 6.7.
Sementara itu, Ketua Pusat Seismologi Kebangsaan Peru, Hernando Tavera memberi jaminan tiada kerosakan yang ketara pada struktur atau kemalangan jiwa di negara berkenaan.
Gegaran susulan pertama dengan magnitud 4.8 direkodkan di Balao, Ecuador dan tentera laut Ecuador berkata ia tidak mendatangkan ancaman tsunami.-AFP