fb fb fb fb fb

12 maut, bas terbalik di Subang

FOTO AFP

BANDUNG, 12 Mei- Sekurang-kurangnya sebelas orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila bas yang membawa pelajar sekolah menengah terlibat dengan kemalangan di jalan berbukit di Subang, Jawa Barat, Indonesia.

Bas itu membawa lebih 60 pelajar dan guru dari bandar pulau Jawa Depok ke Lembang, tempat pelancongan popular, apabila ia terbalik pada pukul 6.48 petang pada Sabtu.

Para pelajar dan guru tersebut baru sahaja menghadiri majlis perpisahan, meraikan tamat pengajian di sekolah.

Menurut laporan, bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan dan condong ke kiri, merempuh sebuah kereta dan tiga motosikal, kata jurucakap polis wilayah Jawa Barat Jules Abraham Abast kepada AFP.

"Daripada penumpang yang maut, sembilan adalah pelajar dan seorang daripada mereka adalah seorang guru," kata Abast.

Kemalangan itu turut mengorbankan seorang penunggang motosikal, 13 orang parah dan 40 yang lain cedera ringan.

Ketua polis trafik tempatan Undang Syarif Hidayat memberitahu penyiar Kompas, brek bas itu disyaki mengalami kerosakan sebelum nahas, tetapi polis masih menyiasat punca kemalangan itu.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Indonesia, di mana ia selalunya membabitkan kenderaan usang atau tidak diselenggara dengan baik, dan peraturan jalan raya selalu diabaikan.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 12 orang maut apabila sebuah kereta merempuh sebuah bas dan sebuah lagi kereta di lebuh raya yang sibuk di Jawa Barat, ketika orang ramai dalam perjalanan untuk menyambut Aidilfitri pada penghujung bulan Ramadan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE