fb fb fb fb fb

12,000 sertai himpunan bantah 'genosid Gaza’ di Berlin

Foto AFP

BERLIN, 14 September – Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan mercu tanda Brandenburg Gate, Berlin pada Jumaat, menuntut agar ditamatkan segera “genosid di Gaza” serta mendesak Jerman menghentikan penghantaran senjata ke Ukraine.

Polis menganggarkan sekitar 12,000 orang hadir, namun parti sayap kiri BSW selaku penganjur mendakwa jumlah sebenar mencecah 20,000.

Jumlah berkenaan menjadikannya antara perhimpunan pro-Palestin terbesar di Jerman setakat ini.

Pengasas BSW, Sahra Wagenknecht, dalam ucapannya turut menuntut Jerman agar komited kepada rundingan damai, “baik di Asia Barat mahupun di Ukraine”.

Seorang peserta, Marie Atwan, 20, berkata penjualan senjata kepada Israel bermaksud menyokong “genosid di Gaza”, manakala Elit Hadilovic, 22, menyuarakan kebimbangan mengenai kanak-kanak Palestin yang terbunuh dan menderita kebuluran.

Canselor Jerman, Friedrich Merz, sebelum ini mengumumkan sekatan separa eksport senjata pada Ogos, khususnya terhadap peralatan ketenteraan yang boleh digunakan di Gaza.

Bagaimanapun, dasar luar rasmi Berlin sejak sekian lama tetap meletakkan sokongan terhadap keselamatan Israel sebagai tonggak utama, meskipun kebelakangan ini kerajaan Jerman semakin kritikal terhadap kesan operasi Israel terhadap penduduk Palestin. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD