TEL AVIV, 14 September – Penunjuk perasaan pada Sabtu mendesak Perdana Menteri Benjamin Netanyahu agar “berhenti menipu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, ketika tekanan terhadap kerajaan berkenaan semakin meningkat berhubung isu rundingan tebusan.
Terdahulu, keluarga mangsa tebusan berkumpul di Tel Aviv menuduh Netanyahu menggagalkan perbincangan gencatan senjata dan menghalang kejayaan perjanjian pembebasan.
Mereka menyifatkan serangan Israel di Qatar pada Selasa lalu, yang menyasarkan kepimpinan politik Hamas, berisiko menjejaskan usaha tajaan AS untuk memeterai keamanan di Gaza dan menamatkan konflik yang berlarutan hampir dua tahun.
Tindakan itu turut menerima kecaman meluas di Asia barat dan antarabangsa kerana dikhuatiri mencetuskan ketegangan lebih serius di rantau berkenaan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 64,000 orang terkorban sejak Israel melancarkan serangan pada Oktober 2023,
Hampir keseluruhan penduduk Gaza dipaksa berpindah dan berdepan krisis kebuluran. Pakar hak asasi serta akademik menilai serangan tersebut sebagai satu bentuk genosid, meskipun Israel menolak dakwaan itu. - REUTERS