fb fb fb fb fb

11 terbunuh di Pakistan, disyaki serangan puak pemisah

Pasukan paramedik membawa keranda mangsa buruh migran yang dibunuh dalam serangan sekumpulan lelaki bersenjata di barat daya Pakistan/Foto AFP

QUETTA, 14 April - Polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bersenjata yang disyaki militan pemisah kerana membunuh 11 orang di barat daya Pakistan.

Menurut polis, sekitar pukul 8 malam semalam, enam lelaki bersenjata itu telah menghentikan sebuah bas berhampiran bandar Naushki di wilayah Balochistan.

Difahamkan mereka memeriksa kad pengenalan orang ramai dan menculik sembilan pekerja dari wilayah timur Punjab.

Pegawai kanan polis, Allah Bakhsh berkata, dalam serangan itu, pihaknya telah menemukan mayat yang ditembak sekitar dua kilometer (km) dari lebuh raya.

Beliau berkata, penyerang sama juga melepaskan tembakan ke arah kereta milik seorang ahli Parlimen, namun wakil rakyat itu tiada dalam kenderaannya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, dua orang yang berada di dalam kereta itu terbunuh selepas kenderaan berkenaan terbabas ke dalam parit.

"Lelaki bersenjata itu jelas menggunakan modus operandi pemisah Baloch dan siasatan dilancarkan untuk mengesahkan siapa di sebalik serangan itu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Pentadbiran Daerah Naushki, Habibullah Musakhail, mengesahkan polis dan pasukan separa tentera mula menjalankan operasi mencari bagi menahan penyerang.

"Tetapi penyerang berjaya melarikan diri dari kawasan itu kali ini," katanya yang turut mengesahkan jumlah kematian.

Untuk rekod, kumpulan pemisah etnik melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di Balochistan, sebuah wilayah terbesar tetapi termiskin di Pakistan walaupun terdapat banyak sumber semula jadi.

Sebelum ini, puak militan menyasarkan etnik Punjabi dan Sindhi dari tempat lain di Pakistan termasuk syarikat tenaga asing yang mereka percaya bertindak mengeksploitasi wilayah itu tanpa berkongsi kekayaan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, pula menyifatkan serangan itu sebagai insiden keganasan sambil memberi jaminan penyerang akan dihukum.

Pada Oktober tahun lalu, lelaki bersenjata membunuh enam buruh Punjabi yang sedang membina kediaman persendirian.

Pada hujung bulan lalu, lapan militan Baloch terbunuh ketika menyerbu pejabat sebuah pelabuhan yang dianggap sebagai asas pelaburan China di rantau berkenaan.

Maklum sayap perhubungan awam tentera, dua tentera Pakistan terbunuh ketika cuba menangkis serangan itu.

Pasukan keselamatan Islamabad paling kerap menjadi sasaran puak pemisah di negara itu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN