fb fb fb fb fb

11 maut insiden bangunan runtuh di New Delhi

Foto ndtv.com

NEW DELHI, 20 April – Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dalam kejadian bangunan kediaman runtuh di pinggir ibu negara India, New Delhi, awal pagi Sabtu.

Insiden yang berlaku di daerah timur laut bandar tersebut melibatkan kawasan yang majoritinya dihuni oleh pekerja migran.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepanjang hari oleh pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus mengorek runtuhan bagi mengesan mangsa yang tertimbus.

Menurut laporan saluran berita NDTV, sebelas mangsa disahkan maut, manakala 11 yang lain berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital manakala lima daripadanya masih menerima rawatan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang. Semoga mangsa yang cedera segera sembuh,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri di platform X.

Presiden India, Droupadi Murmu turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai menyedihkan, terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Kematian ramai individu termasuk wanita dan kanak-kanak amat menyayat hati,” katanya. Kediaman rasmi Presiden terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Punca runtuhan masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Menteri Delhi, Kapil Mishra menyalahkan rasuah dalam pentadbiran kerajaan perbandaran yang dikendalikan oleh parti lawan atas kejadian tersebut.

“Pembinaan bangunan haram seperti ini sedang giat dijalankan. Pemeriksaan terhadap semua bangunan haram ini perlu dilakukan dan tindakan tegas mesti diambil terhadapnya,” katanya menerusi ciapan di X.

Laporan media tempatan menggambarkan bagaimana bangunan empat tingkat itu “runtuh seperti susunan kad.”

Insiden bangunan runtuh merupakan perkara lazim di India, terutamanya melibatkan struktur haram yang didirikan tanpa pematuhan terhadap piawaian keselamatan, dan sering menjadi tempat tinggal pekerja migran di bandar-bandar utama.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN