LONDON, 20 April – Britain menggesa Rusia agar melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya di Ukraine dan bukan sekadar pemberhentian sementara, kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Gesaan itu dibuat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengumumkan gencatan senjata sepihak selama 30 jam sempena sambutan Easter di Ukraine.
Tindakan itu menyusuli amaran dari Washington bahawa ia mungkin menarik diri daripada rundingan damai dalam masa terdekat sekiranya Moscow dan Kiev gagal menunjukkan komitmen untuk menamatkan konflik.
"Ukraine telah komited kepada gencatan senjata sepenuhnya. Kami menggesa Rusia melakukan perkara yang sama," kata jurucakap Kementerian Luar Britain.
Tambah kenyataan itu, pemberhentian sementara yang dicadangkan boleh membuka laluan kepada rundingan ke arah perdamaian yang adil dan berkekalan.
"Ini adalah masa untuk Presiden Putin membuktikan bahawa beliau benar-benar mahukan keamanan dengan menamatkan pencerobohan kejamnya," menurut kenyataan Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan Britain.
Konflik bersenjata antara Rusia dan Ukraine yang berlarutan sejak tahun 2022 terus mencetuskan kebimbangan global, dengan usaha diplomatik antarabangsa semakin giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan bermaruah.-REUTERS