fb fb fb fb fb

Equatorial Guinea nafi hantar tentera ke Ukraine

Para rekrut tentera Rusia yang dipanggil untuk menjalani khidmat ketenteraan berbaris semasa upacara sebelum berlepas ke berek masing-masing. / Foto REUTERS

MALABO, 20 April-Timbalan Presiden Equatorial Guinea pada Sabtu menafikan bahawa negara itu menghantar tentera untuk berperang bersama askar Rusia di Ukraine.

Ia sekali gus bertentangan dengan laporan AFP yang diterbitkan awal minggu ini.

Dalam kenyataannya terhadap artikel yang diterbitkan oleh Le Monde yang dikreditkan kepada akhbar Perancis itu bersama AFP Teodoro Nguema Obiang turut menafikan bahawa negara kecil di pantai Atlantik itu telah mengupah tentera upahan Rusia.

Artikel itu turut memetik akhbar Diario Rombe yang berpangkalan di Sepanyol dan rapat dengan pihak pembangkang Equatorial Guinea di luar negara,mendakwa negara berkenaan mengadakan perjanjian ketenteraan dengan Rusia termasuk operasi pengambilan rekrut untuk serangan Kremlin di Ukraine.

“Saya tampil untuk menafikan maklumat mengenai penghantaran tentera Equatorial Guinea ke Rusia untuk berperang di Ukraine; ini adalah satu pembohongan,” tulis Nguema, anak kepada Teodoro Obiang Nguema Mbasogo, di X.

Menurut timbalan presiden itu, golongan muda dari Equatorial Guinea yang pergi ke Rusia “bukan untuk berperang, tetapi untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti ternama Rusia”.

Dan “selepas tamat pengajian, mereka pulang ke negara untuk menyumbang kepada pertahanan tanah air,” tambah beliau, yang dikenali dengan gelaran “Teodorin”.

Artikel AFP yang diterbitkan pada Jumaat melaporkan, bahawa tentera upahan Rusia berada di negara itu untuk keselamatan peribadi Presiden Nguema, pemerintah negara itu sejak 45 tahun lalu.

“Di sini kita tidak mempunyai tentera upahan tetapi tenaga pengajar yang membantu kita dalam kerangka kerjasama dengan Rusia, serta dengan negara sahabat lain bagi tujuan latihan sumber manusia dalam sektor pertahanan dan keselamatan,” kata Teodorin.

Perjanjian ketenteraan tahun 2024 itu merujuk kepada penghantaran tenaga pengajar Rusia bagi tujuan latihan ketenteraan.

Namun menurut sumber tentera, tiada latihan sedemikian yang telah dijalankan sejak kumpulan pertama tentera Rusia tiba pada Ogos 2024.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD