fb fb fb fb fb

Netanyahu ikrar bawa pulang tebusan, enggan tunduk tuntutan Hamas

Foto AFP

BAITUL MAQDIS, 20 April-Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu berikrar untuk membawa pulang baki tebusan yang masih ditahan di Gaza tanpa tunduk kepada tuntutan Hamas, sambil menegaskan bahawa kempen ketenteraan di wilayah Palestin itu telah memasuki "peringkat kritikal".

"Saya percaya kita boleh membawa pulang tebusan kita tanpa menyerah kepada kehendak Hamas," kata Netanyahu, dalam kenyataan pertamanya selepas Hamas menolak cadangan gencatan senjata baharu dari Israel demi menuntut penamatan perang di Gaza.

"Kita berada di peringkat kritikal dalam kempen ini, dan kita perlukan kesabaran dan keteguhan untuk menang."

Kenyataan tersebut menerima respons pantas daripada sebuah kumpulan kempen Israel yang mewakili keluarga tebusan, yang menuduh Netanyahu tidak mempunyai rancangan untuk menjamin pembebasan para tawanan.

"Terdapat satu penyelesaian yang jelas, boleh dilaksanakan dan boleh dicapai sekarang iaitu perjanjian yang membawa semua orang pulang — walaupun ia bermakna menghentikan pertempuran," kata Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Netanyahu tetap bertegas bahawa menghentikan perang sekarang akan memberi semangat kepada musuh Israel.

"Menghentikan perang di bawah syarat penyerahan ini akan menghantar mesej kepada semua musuh Israel bahawa menculik rakyat Israel boleh memaksa Israel tunduk.

"Ini akan membuktikan bahawa keganasan berhasil dan mesej itu akan membahayakan seluruh dunia bebas," katanya.

Menurut Netanyahu, Hamas "menuntut untuk menamatkan perang dan meneruskan pemerintahannya", selain pengunduran penuh tentera Israel, "yang akan membolehkan Hamas mempersiapkan semula diri dan merancang lebih banyak serangan terhadap kita", tambahnya.

"Jika kita berjanji untuk menamatkan perang, kita tidak akan dapat menyambung semula pertempuran di Gaza," katanya lagi.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD