NAIROBI, 26 Jun - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh pada Selasa apabila polis melepaskan tembakan ke arah ratusan penunjuk perasaan yang menyerbu kawasan Parlimen di Nairobi, ibu negara Kenya.
"Berpuluh-puluh cedera, dan angka kematian dijangka meningkat kerana ramai yang mengalami luka tembakan," lapor Agensi Anadolu memetik seorang sukarelawan Palang Merah yang enggan dikenali.
"Keadaan adalah kritikal, dan kami berusaha keras untuk memberikan bantuan perubatan yang mencukupi kerana ia semakin teruk," kata sukarelawan itu.
Marah dengan cadangan kenaikan cukai, penunjuk perasaan memasuki kawasan Parlimen, menimbulkan suasana huru-hara dan penjarahan besar-besaran.
Sebahagian daripada Bangunan Parlimen dan Pejabat Gabenor Nairobi di kompleks ibu kota turut dibakar oleh golongan belia yang marah.
Penggubal undang-undang terpaksa berlindung di terowong bawah tanah apabila penunjuk perasaan melepasi perimeter keselamatan. - BERNAMA-ANADOLU