fb fb fb fb fb

10 terbunuh, 15 cedera dalam kes tikam di Kanada

(Pegawai pemerintah Saskatchewan RCMP, Rhonda Blackmore dalam sidang media/ AP)

OTTAWA, 5 September- Polis Kanada sedang memburu dua suspek dipercayai membunuh 10 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 yang lain dalam kejadian tikaman di wilayah Saskatchewan, Kanada.

Polis menamakan Damien Sanderson dan Myles Sanderson sebagai dua suspek dan berkata kedua-dua mereka menaiki kereta jenis Nissan Rogue berwarna hitam.

Kejadian tikaman itu dilaporkan berlaku pada jam 8.20 pagi waktu tempatan dan polis mengeluarkan amaran orang berbahaya di seluruh wilayah negara itu.

Amaran sama turut dikeluarkan di wilayah jiran Saskatchewan, Alberta dan Manitoba, menjelang tengah hari.

Pegawai pemerintah Saskatchewan Royal Canadian Mounted Police (RCMP), Rhonda Blackmore, berkata pihak berkuasa tidak mengetahui sama ada suspek sudah menukar kenderaan atau tidak.

Katanya, polis masih di peringkat awal siasatan, selain cuba menentukan hubungan kedua-dua suspek dan sama ada mempunyai maklumat mengenai mereka.

"Lokasi dan arah perjalanan mereka tidak diketahui. Kejadian yang berlaku di wilayah kami ini sangat mengerikan," katanya.


(Damien Sanderson dan Myles Sanderson, dua suspek kes tikaman di wilayah Saskatchewan, Kanada/ AFP)

Serangan berlaku di beberapa lokasi, termasuk James Smith Cree Nation dan Weldon di Saskatchewan serta terdapat 13 tempat kejadian jenayah sedang disiasat polis, kata RCMP di Saskatchewan.

Polis berkata, beberapa mangsa dilihat menjadi sasaran suspek manakala yang lain diserang secara rambang.

Berkemungkinan terdapat tambahan mangsa yang cedera mendapatkan rawatan dengan pergi sendiri ke pelbagai hospital, kata polis kepada pemberita pada sidang akhbar.

Jurucakap pihak berkuasa kesihatan Saskatchewan dalam satu kenyataan, berkata jabatan itu sudah memanggil kakitangan tambahan untuk membantu tindak balas terhadap situasi itu. - REUTERS

Media Baharu