fb fb fb fb fb

10 maut tembakan rambang malam Tahun Baharu Cina polis buru suspek lelaki Asia

(FOTO AFP)

MONTEREY PARK, 23 Januari -Polis California pada Ahad giat memburu seorang suspek lelaki Asia yang melepaskan tembakan rambang sehingga membunuh 10 orang mangsa.

Manakala 10 individu lagi cedera di kelab tarian sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina.

"Suspek lelaki itu melarikan diri dan masih belum dijumpai," kata Sheriff Daerah Los Angeles Robert Luna semasa sidang media di Monterey Park.

Beliau memberi amaran bahawa gambaran penembak itu masih di peringkat awal siasatan dan tidak memberikan butiran lanjut mengenai identitinya.

Lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ketika masyarakat tempatan sedang menyambut Tahun Baharu Cina di Monterey Park.

Beberapa saksi mengatakan suspek menembak secara rambang dengan senjata separa automatik.

Luna berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.22 malam Sabtu (21 Januari) dan mendapati orang ramai meninggalkan premis itu.

“Jabatan Bomba Monterey Park pergi ke tempat kejadian dan merawat mangsa yang cedera dan mengesahkan 10 daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Kapten Andrew Meyer sebelum ini.

(FOTO AFP)

Kejadian tembakan rambang itu mengorbankan lima wanita dan lima lelaki.

Luna berkata bahawa 10 orang yang cedera dikejarkan ke beberapa hospital dan disenaraikan dalam keadaan antara stabil hingga kritikal.

Katanya, beliau tidak percaya penembak menggunakan senapang serangan, bagaimanapun beliau tidak dapat mengenal pasti senjata yang digunakan oleh suspek.

Luna turut menggambarkan tentang insiden kedua di Alhambra kira-kira 20 minit kemudian, yang mana seorang lagi lelaki Asia membawa pistol masuk ke dalam studio tarian tetapi dihalang.

Suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan.

Alhambra terletak kira-kira tiga kilometer dari utara Monterey Park.

Luna berkata pegawai penyiasat sedang menyiasat insiden tersebut. - AFP

Media Baharu