MEXICO CITY, 25 Februari- Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah van dan trak di San Luis Potosi, tengah utara Mexico, awal pagi semalam.
Pejabat pendakwa raya bandar Rioverde mengesahkan lima maut adalah wanita, empat kanak-kanak dan seorang lelaki.
Namun kenyataan pihak itu tidak menyatakan bilangan mangsa yang cedera dan punca kemalangan sedang disiasat.
Kemalangan transit di Mexico meningkat mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 301,678 pada 2020 kepada 377,231 pada 2022, menurut data terkini oleh Institut Statistik dan Geografi Negara (INEGI).
Ahad lalu, lima pelancong Argentina dan seorang warga tempatan maut dalam kemalangan di Quintana Roo, manakala pada akhir bulan lalu, 19 orang maut dan 22 cedera dalam kemalangan antara bas dan treler traktor di Sinaloa. -AFP