fb fb fb fb fb

10 maut, 61 cedera bas dua tingkat dirempuh tren kargo di Mexico

Foto menunjukkan sebuah bas dua tingkat rosak teruk selepas dirempuh tren kargo / Foto REUTERS

MEXICO CITY, 9 September- Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 61 lagi cedera apabila sebuah bas dua tingkat dirempuh tren kargo di tengah Mexico, semalam.

Menurut pengendali kereta api, Canadian Pacific Kansas City de Mexico (CPKC), nahas berlaku apabila bas berkenaan cuba melintas di hadapan tren yang sedang bergerak.

Syarikat itu dalam kenyataan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa pemandu agar mematuhi papan tanda serta arahan berhenti di lintasan kereta api.

Bas kendalian syarikat Herradura de Plata itu setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas berhubung insiden terbabit.

Pejabat Peguam Negara Negeri Mexico memaklumkan, mangsa terdiri daripada tujuh wanita dan tiga lelaki.

Beberapa yang cedera dilaporkan dalam keadaan parah, manakala sebahagian lain telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan awal.

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan bahagian hadapan dek atas bas remuk teruk dengan kerangka logamnya penyek, manakala pasukan penyelamat bergegas mengeluarkan mangsa dan membersihkan kawasan nahas.

Data kerajaan Mexico menunjukkan nahas bas sering berlaku di rantau itu, dengan 12,099 kemalangan jalan raya direkodkan di lebuh raya persekutuan pada 2023, melibatkan kerugian melebihi AS$100 juta, 6,400 kecederaan dan hampir 1,900 kematian.

Tahun ini sahaja, pada Februari lalu, lebih 40 orang maut di selatan Mexico apabila sebuah bas menuju Tabasco dari Cancun terbakar selepas bertembung dengan sebuah treler.

Bas masih menjadi pengangkutan utama di Mexico, berbanding kereta api penumpang yang terhad.

Namun, kerajaan Presiden Claudia Sheinbaum kini merancang untuk memperluas jaringan rel penumpang bagi menghubungkan lebih banyak kawasan di utara dan tengah negara itu.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN