(FOTO HIASAN)
WASHINGTON, 17 Mac- Tujuh pegawai polis AS dan tiga pekerja hospital telah didakwa dengan pembunuhan tahap kedua dalam kematian seorang banduan kulit hitam di sebuah hospital psikiatri di Virginia.
Irvo Otieno, 28, meninggal dunia pada 6 Mac ketika berada di Central State Hospital di Petersburg selepas dipindahkan dari penjara tempatan kerana keadaan mentalnya.
Menurut keputusan bedah siasat awal, dia meninggal dunia akibat sesak nafas ketika "dihalang secara fizikal," kata Peguam Daerah Dinwiddie, Ann Cabell Baskervill dalam satu kenyataan.
Rakaman video kematian Otieno telah ditunjukkan pada hari Khamis kepada keluarganya.
"Walaupun Otieno mengalami penyakit mental, apa yang saya lihat hari ini sangat menyayat hati,"luah ibunya Caroline Ouko dalam sidang akhbar.
Dia berkata video itu menunjukkan 'tujuh pegawai bergelut dengan seorang lelaki (mangsa)pada seorang lelaki, mengasak tanpa henti'.
"Anak saya dilayan seperti anjing, lebih teruk daripada anjing. Saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri, mereka mencekik anak saya," katanya.
Keluarga itu menggunakan khidmat Ben Crump, seorang peguam berprofil tinggi yang terkenal kerana mewakili keluarga mangsa dalam insiden keganasan yang dilakukan oleh polis terhadap golongan kulit hitam.
Crump memberitahu media bahawa Otieno digari dan pergelangan kakinya diikat, dan tujuh pegawai polis itu bergelut dengannya selama 12 minit.
Berumur dalam kalangan 30 hingga 57 tahun, tujuh pekerja sheriff Henrico County telah ditahan dan didakwa atas pembunuhan tahap kedua pada Selasa.
Tiga pekerja hospital, berumur 23 hingga 34 tahun, turut ditangkap dan dihadapkan ke atas pertuduhan yang sama Khamis.
Amerika Syarikat sedang berdepan krisis kekejaman polis dan perkauman yang tersetus daripada pembunuhan 2020 George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang mati di tangan seorang pegawai polis kulit putih di Minneapolis.
Video kematian Floyd, yang mengejutkan dunia, mencetuskan semula kemarahan dan ketakutan yang berpanjangan terhadap keganasan polis yang menyasarkan warga Afrika Amerika dan mencetuskan bantahan besar-besaran terhadap perkauman dan kekejaman.-AFP
(Central State Hospital di Petersburg)