fb fb fb fb fb

1.5 juta terkorban setiap tahun akibat pencemaran udara daripada kebakaran

Foto AFP

PARIS, 28 November - Pencemaran udara yang disebabkan oleh kebakaran dikaitkan dengan lebih 1.5 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun, sebahagian besarnya berlaku di negara-negara membangun, menurut satu kajian baharu yang dikeluarkan pada Khamis (28 November).

Angka korban ini dijangka meningkat dalam masa beberapa tahun akan datang kerana perubahan iklim menjadikan kebakaran hutan lebih kerap dan mencabar, menurut kajian dalam jurnal The Lancet.

Pasukan penyelidik antarabangsa mengkaji data sedia ada tentang "kebakaran landskap", yang membabitkan kebakaran hutan yang melanda alam semula jadi dan kebakaran yang dirancang seperti pembakaran terkawal di tanah-tanah pertanian.

Kira-kira 450,000 kematian setahun akibat penyakit jantung dikaitkan dengan pencemaran udara berkaitan kebakaran dilaporkan antara 2000 dan 2019, menurut penyelidik.

220,000 lagi kematian akibat penyakit pernafasan dikaitkan dengan asap dan zarah yang dilepaskan ke udara melalui kebakaran.

Menurut kajian itu lagi, daripada semua punca kematian di seluruh dunia, sejumlah 1.53 juta setiap tahun dikaitkan dengan pencemaran udara daripada kebakaran landskap.

Selain itu, lebih 90 peratus daripada kematian tersebut adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan hampir 40 peratus sahaja di bahagian Sahara di Afrika.

Negara yang mempunyai angka korban tertinggi ialah China, Republik Demokratik Congo, India, Indonesia, dan Nigeria.

Jumlah rekod pembakaran ladang secara haram di utara India telah dipersalahkan atas asap berbahaya yang baru-baru ini melanda ibu kota New Delhi.

Pengarang kajian Lancet meminta "tindakan segera" untuk menangani jumlah kematian yang besar akibat kebakaran landskap.

Jurang antara negara kaya dan miskin menyerlahkan lagi "ketidakadilan iklim", di mana mereka yang menyumbang paling sedikit kepada pemanasan bumi paling menderita.

Orang ramai boleh mengelak asap daripada kebakaran menerusi beberapa kaedah seperti menjauhi kawasan itu, menggunakan pembersih udara dan pelitup, atau duduk di rumah -- tidak tersedia untuk penduduk di negara yang lebih miskin, kata penyelidik.

Sehubungan itu, mereka meminta lebih banyak sokongan kewangan dan teknologi untuk penduduk di negara yang paling teruk terjejas.

Kajian dikeluarkan seminggu selepas perbincangan iklim PBB di mana perwakilan bersetuju untuk meningkatkan pembiayaan dana yang dianggap tidak mencukupi oleh negara-negara membangun.

Ia juga diumumkan selepas Ecuador mengisytiharkan darurat negara susulan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 10,000 hektar di bahagian selatan negara itu.

Dunia juga diselubungi dengan masalah taufan, kemarau, banjir dan kejadian cuaca ekstrem lain sepanjang 2024 yang dijangka menjadi tahun paling panas dalam sejarah yang direkodkan.- AFP

Trainee