
ARAU, 29 Julai -Pasukan tuan rumah, Malaysia terus mempamerkam aksi cemerlang dalam Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 selepas meraih kejayaan memberangsangkan menerusi 10 kategori yang dipertandingkan.
- Nur Damia Alisha Rosmanizan raih emas Fairway Perseorangan Remaja Perempuan, menewaskan Liu Ming Yi Annie; Nur Atriffa Shiffa Azizan gangsa, Siti Nor Iman Bahrin keempat.
- Wakil negara sapu pingat Wanita Fairway Perseorangan: Nur Laili Idayu Rosli emas, Nor Azah Halib perak, Widilestari Setianingsih gangsa.
- Stroke Beregu Wanita: Norhisham Hassan dan Nur Laili Idayu Rosli emas; Stroke Beregu Lelaki: Rais Sulaiman dan Shafizal Hamzah emas.
- Baharin Ismail dan Mohd Fazli Mohamed sumbang perak dan gangsa Fairway Perseorangan Lelaki; Pulau Pinang raih perak Stroke Remaja Lelaki.
Bagi kategori Fairway Perseorangan Remaja Perempuan, Nur Damia Alisha Rosmanizan merangkul pingat emas selepas menewaskan wakil Hong Kong, Liu Ming Yi Annie.
Dua lagi pemain negara, Nur Atriffa Shiffa Azizan dan Siti Nor Iman Bahrin masing-masing berjaya merangkul pingat gangsa dan tempat keempat.
Malaysia kemudian meneruskan kehebatan dalam kategori Wanita Fairway Perseorangan Wanita apabila wakil negara menyapu bersih pingat acara ketegori berkenaan menerusi Nur Laili Idayu Rosli (emas), Nor Azah Halib (perak), dan Widilestari Setianingsih (gangsa).
Kejayaan sama turut dicatat dalam kategori Stroke Beregu Wanita dan Lelaki apabila gandingan negara dan wakil negeri menguasai kedudukan empat teratas.
Bagi kategori Stroke Beregu Wanita, gandingan negara Norhisham Hassan dan Nur Laili Idayu Rosli menggondol pingat emas, diikuti Nor Azah Halib dan Widilestari Setianingsih (perak), manakala gangsa milik gandingan Perlis, Salbiah Hashim dan Nur Laili Idani Rosli.
Dalam pada itu, Kategori Stroke Beregu Lelaki pula menyaksikan pasangan Selangor, Rais Sulaiman dan Shafizal Hamzah meraih emas. Manakala pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi wakil Perlis menerusi gandingan Hasfizal Samad-Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin serta Abdul Rashid Mahamod-Abu Hassan Adam.
Sementara itu, bagi kategori Fairway Perseorangan Lelaki, Baharin Ismail dan Mohd Fazli Mohamed menyumbang pingat perak serta gangsa buat kem negara.
Turut menyerlah, gandingan Pulau Pinang, Ahmad Aqil Azhari dan Muhammad Asim Abdul Nasir yang membawa pulang perak bagi kategori Stroke Remaja Lelaki.
Pencapaian itu melengkapkan aksi cemerlang wakil negara termasuk gandingan Muhammad Afif Zainuddin, Nur Atriffa Shiffa Azizan, Nur Damia Alisha Rosmanizan dan Nur Hayani Qistina Mohd Zulkharami dalam kategori Stroke Beregu Remaja Perempuan dan Beregu Remaja Campuran.