
NEW JERSEY, 29 Julai – Badan induk bola sepak dunia (FIFA) merancang untuk menubuhkan sebuah anak syarikat komersial baharu bernilai AS$20 bilion (RM92.8 bilion), dalam usaha mendapatkan sokongan daripada 211 persatuan ahlinya, meskipun tindakan itu menerima kritikan keras daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
- FIFA akan tubuhkan FIFA Forward Enterprise menggabungkan operasi komersial dan penganjuran acara; bakal jual pegangan minoriti untuk mengumpul sehingga AS$4.2 bilion.
- FIFA menegaskan ia kekal pegang kawalan penuh serta kuasa eksklusif terhadap tadbir urus, pertandingan, kalendar perlawanan dan keputusan kawal selia.
- UEFA mengkritik rancangan itu sebagai melampaui batas tadbir urus, menegaskan bola sepak bukan aset untuk dijual; isu akan dibentang kepada 211 persatuan.
Pelan itu akan menyaksikan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE), sebuah anak syarikat milik penuh yang menggabungkan operasi komersial dan penganjuran acara organisasi berkenaan.
Menurut FIFA, pihak mereka akan mengekalkan kawalan penuh serta “kuasa eksklusif” terhadap tadbir urus bola sepak, pertandingan, kalendar perlawanan serta semua keputusan berkaitan kawal selia dan sukan.
Di bawah cadangan tersebut, FIFA akan menjemput pelabur luar untuk membeli pegangan minoriti bukan kawalan dalam FFE bagi mengumpul dana sehingga AS$4.2 bilion, dengan kesemua keuntungan bersih akan dilaburkan semula ke dalam pembangunan sukan itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan berkata bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia dan menjadi pemangkin luar biasa bagi pembangunan manusia serta sosial.
“Sebahagian daripada sukan ini telah menterjemahkan populariti berkenaan kepada nilai komersial yang amat besar dan kita meraikan kejayaan itu serta mahu ia berterusan kerana ia menaikkan taraf keseluruhan bola sepak.
“Tugas kami adalah untuk memastikan bahagian bola sepak yang lain turut berkembang bersama: FIFA wujud untuk menyokong pembangunan yang mampan dan inklusif di setiap pelosok dunia,” katanya.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada UEFA yang menyifatkan langkah berkenaan sebagai melampaui batas tadbir urus sukan.
“Ini telah merentasi garis yang tidak sepatutnya dilangkaui oleh institusi pentadbiran bola sepak.
“UEFA memandang perkara ini dengan amat serius, begitu juga setiap Persatuan Bola Sepak Kebangsaan, kelab, pemain, penyokong dan pihak kerajaan.
“Jiwa dan tadbir urus bola sepak bukanlah aset untuk didagangkan terutamanya tanpa ketelusan mengenai siapa yang mendapat keuntungan secara kewangan. Tiada antara kita yang menjadi pemilik bola sepak. Ia bukan milik FIFA untuk dijual,” tegas UEFA menerusi satu kenyataan.
Infantino bagaimanapun mempertahankan cadangan itu dengan menyatakan bahawa setiap persatuan ahli berhak mendapat peluang untuk menerima habuan adil daripada dana yang ada demi menentukan masa depan masing-masing, sekali gus menyifatkannya sebagai langkah “pendemokrasian bola sepak di peringkat global”.
Satu sumber memberitahu bahawa FIFA kini bekerjasama dengan bank pelaburan JPMorgan bagi mengumpul dana berbilion dolar menerusi penjualan pegangan sehingga 20 peratus kepada pelabur luar.
Menurut sumber itu lagi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liberty Media, Greg Maffei bertindak sebagai penasihat komersial dalam penubuhan entiti baharu itu.
Syarikat strategi pelaburan Thrive Eternal, yang ditubuhkan di bawah firma Thrive Capital, dijangka bertindak sebagai pelabur utama.
Entiti pelaburan berkenaan diasaskan oleh Joshua Kushner dan turut mendapat khidmat bekas CEO Walt Disney, Bob Iger sebagai penasihat.
Jurucakap FIFA memaklumkan cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada 211 Persatuan Ahli dan Majlis FIFA dalam masa terdekat, yang bakal menjadi pembuat keputusan akhir berhubung perkara tersebut. – REUTERS