
SHAH ALAM, 19 Ogos — Penerjun Wilayah Persekutuan, Yong Rui Jie menampilkan aksi konsisten apabila meraih pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2026, di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
- Mengumpul 391.85 mata selepas enam pusingan, mengatasi Muhammad Haris Mohd Rezal dengan 387.45 mata.
- Berlatih di venue itu sejak umur sekitar 10 tahun, menjadikan kejayaan di situ lebih bermakna.
- Memberi penghargaan kepada jurulatih Ooi Tze Liang atas bantuan latihan dan sokongan terhadap kesihatan mental.
Penerjun berusia 20 tahun itu mengumpul 391.85 mata selepas enam pusingan terjunan, sekali gus mengatasi penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal yang meraih pingat perak dengan 387.45 mata.
“Kalau saya tak menang medal ini, saya rasa saya kecewa dengan diri sendiri. Saya rasa saya layak dapat medal ini,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Rui Jie turut menyifatkan kejayaan di venue berkenaan lebih bermakna kerana pernah menjalani latihan di situ sejak berusia sekitar 10 tahun.
“Sebab dulu berlatih di sini juga, jadi rasa macam berlatih di rumah. Saya rasa macam saya perlu menang emas ini,” katanya.
Rui Jie turut memberikan penghargaan kepada jurulatihnya, Ooi Tze Liang yang banyak membantunya bukan sahaja dari aspek latihan, malah sokongan mental.
“Bagi saya, coach Liang memang sangat membantu saya. Dia membantu dari segi latihan, bukan sahaja latihan, aspek kesihatan mental semua pun dia membantu.
“Jadi saya fikir ini sangat penting dan merupakan satu peningkatan besar,” katanya.

Kejayaan itu turut menjadi lebih bermakna apabila Rui Jie membuat penampilan terakhir di Sukma.
Menganggap Sukma 2026 sebagai persiapan menuju Asian Games di Jepun, Rui Jie menyasarkan untuk mengekalkan prestasi semasa sebelum mengimpikan kejayaan lebih besar di pentas antarabangsa.
Pingat gangsa menjadi milik juara Sukma Sarawak 2024, Elvis Priestly anak Clement dari Sarawak, selepas mengumpul 368.30 mata.