
KUALA LUMPUR , 22 Januari – Selepas lapan tahun tidak dianjurkan, Temasya Sukan RTM ke-13 kembali dengan mengangkat tema ‘Kita Aktif’.
- Temasya Sukan RTM ke-13 dianjur semula selepas lapan tahun dengan tema "Kita Aktif".
- Matlamat penganjuran ialah memperkukuh kerjasama dan semangat kekeluargaan antara kira-kira 4,000 warga RTM.
- Enam acara dipertandingkan: bola sepak, bola jaring, bola tampar, sepak takraw, badminton dan ping pong.
- Penyertaan melibatkan enam zon utama; hadiah wang tunai, piala dan pingat disediakan untuk pemenang.
Penganjurannya bertujuan memperkukuh kerjasama dan semangat kekeluargaan antara kira-kira 4,000 warga RTM yang bertugas di seluruh negara, merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, memberi peluang kepada kakitangannya bersemuka memandangkan RTM beroperasi 24 jam dan mempunyai warga kerja yang ramai serta berbeza lokasi.
Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) Jabatan Penyiaran, Ismail Seman berkata, enam acara sukan akan dipertandingkan bagi penganjuran tahun ini berbanding 11 pada edisi terdahulu.
”Enam sukan tersebut adalah bola sepak, bola jaring , bola tampar, sepak takraw, badminton dan ping pong. Kita juga ada pasukan veteren dengan syarat pemain mesti berumur 45 tahun ke atas.
“Acara seperti badminton, ping pong dan sepak takraw akan diadakan di kompleks sukan baharu di Angkasapuri namun bola sepak terpaksa dimainkan di IWK Pantai dalam”, katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan daripada enam zon utama iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sabah dan Zon Sarawak dengan Zon Tengah melibatkan 400 peserta.
Temasya Sukan RTM ke-13 yang bermula Sabtu ini hingga 26 Januari menyediakan hadiah wang tunai, piala dan pingat kepada pemenang bagi setiap kategori.