SUKMA: Jurulatih puji prestasi atlet, Sabah raih tiga emas sepak takraw

Foto RTM

PUCHONG, 21 Ogos – Sabah menguasai saingan sepak takraw Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila merangkul tiga daripada empat pingat emas yang dipertandingkan pada hari ketujuh kejohanan itu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Daut Amba puji kerja keras atlet serta pelaksanaan perancangan pasukan dengan baik.
  • Pasukan wanita dan lelaki berjaya mempertahankan pingat SUKMA sebelum ini, menurut jurulatih.
  • Negeri Sabah akan mempergiat program pembangunan sepak takraw akar umbi untuk skuad lelaki dan wanita.
  • Keputusan perlawanan: beregu wanita Samaan/Nazira 15-7,15-7; beregu lelaki Norikhman/Zulhakim 15-8,15-12; kuadran wanita 15-12,15-11.

Jurulatih Sepak Takraw Sabah, Daut Amba menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerja keras semua atlet yang berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik.

“Pasukan wanita dan lelaki dapat mempertahankan pingat yang dimenangi SUKMA lalu dan syukur alhamdulillah. Semua pasukan, semua atlet Sabah hari ini dapat sampaikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui media setelah tamat perlawanan di Arena MBSJ Puchong.

Mengulas mengenai pembangunan sukan sepak takraw dari akar umbi, beliau turut memaklumkan perancangan pembangunan sepak takraw negeri Sabah, khusus bagi pasukan lelaki dan wanita sedang dipergiat.

“Selepas balik ini kami ada perancangan untuk program pembangunan sepak takraw negeri Sabah lelaki dan wanita. Dan itulah satu kami punya pembangunan untuk pasukan,” katanya.

Sementara itu, dalam aksi sepak takraw hari ketujuh kejohanan, Sabah membuka tirai kejayaan menerusi beregu wanita apabila gandingan Nedveesharny Samaan dan Nazira Hani menewaskan beregu Perlis, 15-7 di set pertama dan 15-7 di set kedua.

Sabah kemudian menambah emas menerusi beregu lelaki selepas Norikhman Duraman dan Wan Mohamad Zulhakim Wan Sablee menundukkan pasangan dari Perak 15-8 dan 15-12.

Penguasaan Sabah dilengkapkan menerusi acara kuadran wanita apabila gandingan kuartet Fisydiana Farodani, Syafieha Odi, Anis Alia Lair dan Nurhazrayanne Ari Rohaizan menewaskan skuad Perak 15-12 dan 15-11 untuk kemenangan 2-0.

Keputusan itu menyaksikan Sabah mengumpul tiga dari empat pingat emas yang dipertandingkan bagi empat acara yang berlangsung hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.