Speedy Tigers tewas, Brendon puji semangat juang pemain

Foto BERNAMA

IPOH, 28 November – Hasrat Malaysia muncul juara tidak kesampaian selepas tewas kepada Australia 3-1 dalam aksi akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Brendon Carolan memuji peningkatan prestasi dan semangat juang pemain meskipun mereka tewas pada aksi akhir.
  • Carolan menyifatkan kejohanan itu sebagai pengalaman pembelajaran yang baik, khususnya menghadapi permainan pantas dan tekanan lawan.
  • Mark Hager berkata kejohanan itu memberi pendedahan berguna kepada pemain muda, termasuk menghadapi lawan, cuaca panas dan sorakan penonton.
  • Australia menghargai jemputan menyertai kejohanan dan berharap dapat kembali bertanding pada tahun-tahun akan datang.

Speedy Tigers turun dalam misi memburu kejuaraan dengan mendahului menerusi jaringan Faizal Saari pada minit kesembilan sebelum Australia bangkit menerusi jaringan Duncan Jackson dan Craig Marais untuk mencatat kemenangan 3-1.

Kedudukan 3-1 kekal hingga wisel penamat menyaksikan Australia berjaya melebarkan rekod kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah sebanyak 11 kali.

Sementara itu, Korea Selatan menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Pakistan 3-0 dalam aksi di sebelah petang.

Pada kejohanan tersebut Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam pada itu, Jurulatih negara, Brendon Carolan, memuji peningkatan prestasi serta semangat juang yang ditampilkan anak buahnya meskipun terpaksa akur dengan kekalahan pada perlawanan akhir.

“Pengalaman ini sangat baik untuk pasukan kami, khususnya apabila berdepan corak permainan dengan tempo yang berbeza. Pihak lawan tidak memberikan banyak ruang dan masa untuk kami mengawal bola, sekali gus menuntut kami menggerakkan bola dengan lebih pantas dan teratur.

“Jadi, kejohanan ini merupakan pengalaman pembelajaran yang sangat baik untuk kami,” katanya.

Bagi jurulatih Australia, Mark Hager pula, beliau nyata teruja dengan kemenangan yang diraih dan menyifatkan kejohanan tersebut sebagai platform pendedahan yang berguna kepada pemain muda.

“Kami amat berbesar hati kerana Brendon menjemput kami menyertai kejohanan ini. Ia merupakan satu platform pertandingan yang sangat baik untuk pasukan kami.

“Kami turut membawa beberapa pemain muda untuk memberi mereka pendedahan, bukan sahaja dari segi menghadapi cabaran pihak lawan, malah menyesuaikan diri dengan cuaca panas serta sorakan penonton.

“Kami bekerja keras untuk kembali menyertai kejohanan ini selepas sekian lama. kami amat menghargai peluang yang diberikan.

“Harapan kami agar kejohanan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan sudah tentu kami akan kembali menyertainya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.