
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Bekas pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean berharap skuad wanita Malaysia diberi masa untuk terus berkembang menjelang kejohanan Uber Cup.
- Pemain muda memerlukan lebih pendedahan dan pengalaman di pentas antarabangsa untuk berkembang menjelang kejohanan penting.
- Uber Cup adalah acara berpasukan yang memerlukan sokongan seluruh rakyat untuk meningkatkan keyakinan pemain.
- Terdapat jurang tahap antara beregu utama dan pelapis; negara perlu pasangan beregu kedua bagi memperkukuh pasukan.
- BAM dan barisan kejurulatihan giat mencari pelapis terbaik, rakyat digesa terus memberi sokongan kepada pemain muda.
Menurut beliau, kebanyakan pemain yang dibariskan ketika ini masih muda dan memerlukan lebih banyak pendedahan serta pengalaman di pentas antarabangsa.
Lee Meng Yean berkata, Uber Cup merupakan kejohanan berpasukan yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat Malaysia bagi meningkatkan keyakinan pemain.
“Masih junior lagi, kena bagi lebih sikit masa and dapatkan pengalaman sebab Piala Uber ini bukan satu event sahaja. Sebagai satu pasukan, jadinya kena menang sebagai satu pasukan dan kalah juga sebagai satu pasukan” katanya.
Dalam masa sama, beliau melihat masih terdapat jurang dalam beregu wanita negara apabila pasangan utama negara berada di tahap berbeza berbanding pelapis lain.
Menurutnya, Malaysia memerlukan pasangan beregu wanita kedua bagi memperkukuh kekuatan pasukan pada masa hadapan.
Beliau bagaimanapun yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta barisan kejurulatihan negara sedang bekerja keras mencari pelapis terbaik bagi mengukuhkan skuad wanita negara.
Lee Meng Yean turut menyeru rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada pemain muda demi memastikan pembangunan badminton negara terus berkembang.