
ALOR SETAR, 10 Mac – Skuad badminton negara perlu terus memberi tumpuan kepada kejohanan akan datang sebagai persediaan memburu kejuaraan Piala Thomas 2026.
- KBS akan terus bekerjasama dengan BAM dan barisan jurulatih bagi memastikan atlet negara tampilkan prestasi terbaik.
- Kekalahan beregu negara di All England tidak harus mematahkan semangat, sebaliknya dijadikan pemangkin pembaikan prestasi.
- KBS akan membantu apa sahaja boleh serta sentiasa berbincang dengan BAM, jurulatih dan atlet untuk bangkit.
- Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan cetus penglibatan belia; KBS bekerjasama agensi bagi program berterusan dan bantuan komuniti.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta barisan kejurulatihan bagi memastikan atlet negara mampu menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan akan datang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kekalahan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, pada aksi final Kejohanan Badminton All England, Ahad lalu.
Pasangan negara itu terpaksa akur tewas menentang beregu utama dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Birmingham.
Menurut beliau, kekalahan tersebut tidak seharusnya melemahkan semangat pemain sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk memperbaiki prestasi menjelang kejohanan utama yang bakal berlangsung.
“Saya tetap mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka. Kita perlu terus fokus dan di peringkat KBS, kita akan membantu apa sahaja yang boleh.
“Kita juga akan sentiasa berbincang dengan BAM, jurulatih serta atlet supaya kekalahan ini tidak mematahkan semangat sebaliknya menjadi motivasi untuk terus mara, khususnya menjelang Piala Thomas yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan peringkat negeri Kedah di Kompleks Pendidikan Al Hikmah, di sini.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 600 hingga 700 golongan muda dari pelbagai daerah dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk pertandingan menulis khat, azan, hafazan serta sesi tausiah.
Dalam pada itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata KBS akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memastikan program seumpama itu dapat dilaksanakan sepanjang tahun dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja.
Menurut beliau, golongan belia merupakan aset penting dalam mengekalkan keharmonian negara dan perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum serta agama.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan Bakul Ramadan kepada 100 penerima terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), asnaf serta guru-guru pondok di Kedah.