Ragbi Piala Agong: Terengganu mara ke separuh akhir

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Setelah terkandas pada penentuan suku akhir pada musim lalu,Terengganu memperkukuh kempen memburu kejuaraan pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026 dengan melangkah ke separuh akhir setelah berjaya menewaskan Wilayah Persekutuan Putrajaya, 43 – 26 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Josevata Cava Uluinaceva menjaringkan try awal pada minit ke-3 untuk memberi lima mata pertama.
  • Taktik berbeza ketua jurulatih Hafiizh Zainal membawa Terengganu mendahului 26-5 pada separuh masa pertama.
  • Putrajaya menguasai separuh masa kedua tetapi gagal memanfaatkan peluang walaupun lawan menerima kad kuning pada minit ke-70.
  • Terengganu akan beraksi di laman sendiri menentang juara bertahan PDRM pada 20 Jun dalam separuh akhir.

Beraksi dalam cuaca panas langsung tidak menganggu rentak pasukan tuan rumah untuk mendapat 5 mata pertama melalui jatuhan try oleh pemain import Josevata Cava Uluinaceva seawal
minit ke-3 permainan.

Taktikal berbeza berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu menyaksikan Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih Hafiizh Zainal mendahului babak separuh masa pertama perlawanan berkeputusan 26 – 5.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat, Wilayah Persekutuan Putrajaya mula menguasai momentum permainan dengan beberapa tambahan mata namun masih gagal untuk mendahului perlawanan.

Walaupun pada minit ke-70 memaksa pasukan tuan rumah beraksi kurang dua pemain setelah menerima kad kuning untuk berada di luar padang selama 10 minit, Wilayah Persekutuan Putrajaya masih gagal untuk memanfaatkan peluang itu bagi menambah mata sekaligus mendahului perlawanan sepenuhnya.

Momentum pasukan tuan rumah kembali sepenuhnya setelah pemain gantian Muhammad Ikmal Hakim Zuraimi mengejutkan pasukan pelawat untuk jatuhan try mudah di hadapan lawan.

Ia menjadi mata terakhir sehingga tamat perlawanan berkeputusan 43-26 untuk Terengganu melangkah ke penentuan separuh akhir sekaligus memperbaiki rekod pasukan setelah terkandas pada penentuan suku akhir pada musim lalu.

Seterusnya bagi aksi penentuan separuh akhir, Terengganu sekali lagi beraksi di laman sendiri untuk bertemu PDRM selaku juara bertahan yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun depan.

PDRM kembali menempah tiket separuh akhir setelah berjaya menewaskan Negeri Sembilan 44 – 20.

Turut berlangsung bagi saingan perebutan ke separuh akhir adalah pasukan pilihan musim ini, Johor meraih kemenangan besar setelah menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berkesudahan 75 – 26.

Manakala Kelantan turut mara ke penentuan separuh akhir untuk bertemu Johor setelah menewaskan ATM yang berakhir dengan keputusan 45 – 36.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.