Ghana bantah Kanada tolak visa pemain tengahnya

Foto REUTERS 

NEW YORK, 14 Jun – Ghana telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kanada selepas hos bersama Piala Dunia itu menolak kemasukan pemain tengahnya, Thomas Partey.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanada menolak visa Thomas Partey, menghalangnya menyertai perlawanan pertama Ghana menentang Panama di Toronto.
  • FIFA memaklumkan Partey tidak dapat melakukan perjalanan akibat masalah visa.
  • Partey didakwa di London atas beberapa pertuduhan serangan seksual; beliau menafikan semua tuduhan dan perbicaraan dijadual tahun depan.
  • Kerajaan Ghana menyatakan beliau pemain utama dan menyoal keadilan serta perkadaran keputusan Kanada; IRCC menegaskan keselamatan awam keutamaan.

Kementerian Luar Ghana telah menghantar nota bantahan rasmi kepada Jabatan Hal Ehwal Global Kanada, selain meminta negara itu menyemak semula “keputusan yang dikesali itu.”

Partey kini berada di kem latihan Ghana di Amerika Syarikat (AS), namun Kanada enggan membenarkan beliau masuk bagi perlawanan pertama Piala Dunia menentang Panama di Toronto pada Rabu depan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan bahawa Partey tidak dapat melakukan perjalanan berikutan masalah visa.,

Pemain Villarreal berusia 33 tahun itu didakwa di London tahun lepas atas tujuh pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual antara tahun 2020 hingga 2022 semasa beliau beraksi untuk Arsenal.

Partey menafikan semua pertuduhan berkenaan dan perbicaraan kesnya dijadualkan bermula tahun depan.

Perlawanan kedua dan ketiga Ghana dalam Kumpulan L menentang England dan Croatia akan berlangsung di AS, yang mana beliau dilihat tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan visa memandangkan telah memasuki negara itu bersama baki skuad lain pada 4 Jun.

Kerajaan Ghana menyatakan bahawa beliau merupakan pemain “utama” pasukannya dan belum disabitkan dengan sebarang jenayah buat masa ini.

Pendirian Kanada itu “menimbulkan persoalan asas mengenai keadilan dan perkadaran,” menurut Kementerian Luar di Accra.

Kerajaan Kanada tidak memberikan ulasan mengenai kes individu terbabit.

Bagaimanapun, sebelum berita berkenaan tersebar, Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) memberitahu bahawa keselamatan rakyat Kanada adalah keutamaan mereka dalam menyambut kedatangan peserta dan pelawat Piala Dunia FIFA dari seluruh dunia.

“Pegawai IRCC adalah pembuat keputusan terlatih yang menilai kelayakan dan kebenaran masuk seseorang individu selaras dengan undang-undang imigresen Kanada.

“Jika mereka percaya seseorang individu boleh mendatangkan risiko keselamatan, mereka boleh memutuskan untuk menolak kemasukan individu terbabit,” menurut kenyataan yang dikeluarkan IRCC kepada media. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.