
KUALA LUMPUR, 15 April– Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima suntikan dana Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM825,000 bagi membantu kelancaran kejohanan pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 (TWC Kuala Lumpur 2026).
- PKBM merakamkan penghargaan kepada kerajaan, KBS, Menteri dan Ketua Setiausaha atas sokongan serta bantuan penting kepada penganjuran.
- Kelulusan tambahan mencerminkan komitmen kerajaan dan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah acara bertaraf dunia.
- 46 negara mengesahkan penyertaan; kejohanan menghimpunkan pelumba elit antarabangsa dan mempromosikan Malaysia sebagai hab sukan berbasikal.
Perlumbaan itu dijadual berlangsung di Velodrom Nasional bermula 24 hingga 26 April ini.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata sumbangan dana tersebut membuktikan keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan kepada sukan berbasikal.
“Secara peribadi, bagi pihak PKBM, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sumbangan dana GPS bernilai RM825,000 ini pasti meringankan beban PKBM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Begitu juga saya sangat berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail kerana telah membantu PKBM,” katanya.
Datuk Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan kelulusan tambahan tersebut amat signifikan dan mencerminkan kesungguhan serta komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan Malaysia mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dengan jayanya.
“Keputusan kerajaan untuk menambah peruntukan ini membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah serta kepentingan kejohanan ini dalam mengangkat imej negara di persada antarabangsa.
“Ini juga memberikan suntikan semangat kepada kami untuk memastikan penganjuran yang terbaik,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan tertinggi kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan berterusan yang diberikan, termasuk sokongan secara in-kind melalui penyediaan lokasi di Velodrom Nasional Nilai serta pelbagai bantuan logistik dan operasi lain yang amat penting dalam memastikan kelancaran penganjuran kejohanan ini.
Tegasnya, Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 bukan sahaja akan menghimpunkan pelumba elit dunia, malah menjadi platform penting untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab sukan berbasikal serta destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa.
PKBM komited untuk bekerjasama rapat dengan KBS, MSN dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar dan mencapai standard tertinggi yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Dengan sokongan padu kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, kami yakin Malaysia akan sekali lagi membuktikan keupayaan sebagai penganjur bertaraf dunia dan seterusnya memperkukuh kedudukan negara dalam arena berbasikal global,” tambah beliau.
Setakat ini, 46 negara telah mengesahkan penyertaan pada pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026, sekali gus menjadikan ia kejohanan paling banyak menarik penyertaan.
Datuk Amarjit yang juga Naib Presiden UCI mendedahkan antara pelumba tersohor yang telah mengesahkan penyertaan termasuk juara Sukan Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda, Nicholas Paul (Trinidad & Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).