Piala Uber: China pertahan gelaran menentang Korea Selatan di akhir

Pasangan beregu wanita China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning, yang juga pasangan nombor satu dunia/Foto Bernama

HORSENS, 2 Mei – China semakin hampir untuk menjulang satu lagi kejuaraan Piala Uber selepas menewaskan juara enam kali Jepun 3-0 untuk mara ke akhir 2026, dengan Korea Selatan menjadi halangan terakhir di Forum Horsens esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wang Zhi Yi bangkit menewaskan Akane Yamaguchi 21-23, 21-11, 21-16 selepas perlawanan sengit 73 minit.
  • Beregu nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning menang mudah 21-18, 21-14; Chen Yu Fei menutup perlawanan dengan kemenangan.
  • Perlawanan akhir pertemukan China dan Korea; China juara 16 kali dengan rekod kemenangan 7-2 berdepan Korea dalam final.

Korea Selatan, juara dua kali mara ke akhir selepas menewaskan juara tiga kali Indonesia 3-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

China diuji awal apabila perseorangan wanita utama mereka yang juga pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi dipaksa berhempas pulas sebelum bangkit menewaskan pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi 21-23, 21-11, 21-16 dalam pertarungan sengit selama 73 minit.

Beregu wanita nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning berjaya melebarkan kedudukan dengan kemenangan mudah 21-18, 21-14 ke atas pasangan nombor enam dunia Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, sebelum perseorangan kedua Chen Yu Fei menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-11, 22-20 ke atas Tomoka Miyazaki.

Walaupun keputusan itu kelihatan meyakinkan, Yu Fei berkata aksi separuh akhir tidak mudah, terutama dengan tekanan yang semakin memuncak ketika perlawanan memasuki fasa akhir.

“Setiap perlawanan semakin sukar untuk dihadapi, terutama apabila pasukan mara ke separuh akhir, namun keazaman kami untuk menang sangat kuat. Jadi, memang terdapat tekanan dan perasaan gemuruh di gelanggang,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia An Se Young meletakkan Korea Selatan di hadapan dengan kemenangan 21-19, 21-5 ke atas Putri Kusuma Wardani, sebelum pasangan nombor tiga dunia Baek Ha Na-Lee So Hee mengharungi perlawanan mendebarkan selama 88 minit untuk menewaskan Febriana Dwipuji Kusuma-Amellia Cahaya Pratiwi 21-16, 19-21, 21-15.

Indonesia berjaya merapatkan jurang menerusi kemenangan Thalita Ramadhani Wiryawan 21-19, 21-19 ke atas Sim Yu Jin dalam perlawanan ketiga.

Korea Selatan bagaimanapun menamatkan saingan dalam perlawanan keempat menerusi gandingan baharu Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang menewaskan pasangan nombor 15 dunia Rachel Allesya Rose-Febi Setianingrum 21-16, 21-18 dalam tempoh 51 minit.

Hye Jeong berkata beliau gembira membantu Korea Selatan mara ke akhir manakala Na Eun pula mengakui mereka akan bermain bersungguh-sungguh untuk merangkul gelaran Piala Uber ketiga.

Perlawanan akhir menemukan dua musuh tradisi, dengan China selaku juara 16 kali memiliki rekod kemenangan 7-2 ke atas Korea Selatan dalam pertemuan akhir Piala Uber sebelum ini.

Piala Uber 2026 yang bermula pada 24 April akan melabuhkan tirainya esok.-BERNAMA