
KUALA LUMPUR, 4 April -Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir ke pentas final Piala Malaysia buat kali kelapan selepas membelasah Kuala Lumpur (KL) City 4-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
- Bergson, Aketxe dan Oscar Arribas menjaringkan gol; Aketxe dua gol termasuk sepakan percuma dan rembatan jarak jauh.
- Ketua jurulatih KL City Risto Vidakovic anggap peluang bangkit amat tipis, perlu bersikap realistik.
- Xisco Munoz sifatkan keputusan positif namun tuntut pasukan terus tingkatkan fokus dan perbaiki beberapa aspek permainan.
- Kemenangan berikan kelebihan besar untuk aksi timbal balik; JDT pernah tujuh kali ke final dan menang lima kali.
Skuad kendalian Xisco Munoz mempamerkan aksi dominan apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Bergson Da Silva yang menyudahkan umpanan Afiq Fazail di dalam kotak penalti.
Kedudukan terus memihak kepada juara Liga Super itu apabila sepakan percuma Ager Aketxe pada minit ke-31 berjaya menewaskan penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad untuk gol kedua JDT.
Bersambung babak kedua, KL City cuba bangkit, namun JDT terus menambah jaringan menerusi Oscar Arribas pada minit ke-59 sebelum Aketxe melengkapkan kemenangan 4-0 menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-84.
Ketua Jurulatih KL City, Risto Vidakovic mengakui peluang untuk bangkit pada aksi timbal balik di Johor amat tipis selepas tewas besar di laman sendiri.
“Kami tewas 4-0 di sini kepada pasukan yang sangat kuat. Saya tidak fikir kami mampu membalikkan keputusan itu di Johor. Kemungkinannya sangat, sangat rendah. Jadi kami perlu bersikap realistik dan memikirkan perkara yang lebih penting bagi kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan kemenangan besar itu sebagai keputusan positif namun tetap menuntut peningkatan prestasi pasukan.
“Ia merupakan keputusan yang positif, namun penting untuk kami terus mengekalkan usaha yang sama. Kami perlu lebih fokus dalam beberapa situasi permainan dan memperbaiki beberapa perkara,” katanya.
Kemenangan itu memberikan kelebihan besar buat Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Untuk rekod, JDT pernah beraksi di pentas akhir Piala Malaysia sebanyak tujuh kali dengan lima gelaran dimenangi setakat ini.