Piala FC: Melaka FC mahu perkemas taktikal selepas tewas Penang FC

Foto RTM

KRUBONG, 3 September – Kegagalan Melaka FC mengekalkan momentum kemenangan tidak mematahkan semangat pasukan itu, sebaliknya membuka ruang untuk pengendalinya, E. Elavarasan, memperkemas perancangan taktikal menjelang aksi seterusnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaka FC perlu perhalusi aspek taktikal dan persiapan menjelang perlawanan seterusnya.
  • Fokus kepada perlawanan liga menentang Selangor; fahami corak bertahan lawan apabila mendahului 1-0.
  • Penang FC yakin mampu teruskan prestasi; pemain jangan terlalu selesa dengan kelebihan satu gol.

Elavarasan berkata beliau berpuas hati dengan momentum yang ditunjukkan anak buahnya selepas mengharungi tiga perlawanan, namun beberapa aspek permainan perlu diperhalusi bagi memastikan pasukan lebih bersedia menghadapi aksi seterusnya.

Katanya, pertemuan dengan Selangor FC memerlukan fokus dan perancangan yang lebih teliti, terutama dalam menghadapi perubahan corak permainan lawan apabila ketinggalan.

“Apabila kita mendahului 1-0, pasukan lawan akan lebih banyak bertahan dan kita pula akan memberi tekanan. Jadi, kita perlu memahami situasi permainan seperti ini dan bersedia dengan serangan balas.

“Yang penting ialah perlawanan minggu ini kerana kita akan bertemu Selangor dalam aksi liga. Kita akan fokus kepada perlawanan liga terlebih dahulu sebelum memikirkan aksi kedua. Untuk perlawanan kedua, peluang kedua-dua pasukan masih 50-50,” katanya demikian yang ditemui selepas perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail yakin persembahan cemerlang pasukannya mampu diteruskan pada aksi Piala FA akan datang sekiranya pemain mengekalkan tahap permainan terbaik.

Beliau berkata pasukannya juga perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan tidak terlalu selesa dengan kelebihan satu gol yang dimiliki.

“Saya harap pemain yang tidak sihat hari ini dapat kembali dan kita juga mempunyai beberapa percaturan lain kerana kita bermain di gelanggang sendiri.

“Kita tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan satu gol kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kita kena buat persiapan rapi untuk memastikan kita layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Pada perlawanan itu, pemain import Penang FC dari Nigeria, Obilor Faith Friday menjadi wira selepas berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-23 bagi membawa kelebihan pada aksi timbal -balik pusingan 16 terbaik di laman sendiri.

Perlawanan berkenaan dijadualkan pada 9 September depan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.