
KANGAR, 3 Ogos- Kontinjen Perlis menyasarkan kutipan 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
- Menteri Besar berkata sasaran bukan tekanan tetapi cabaran kepada atlet untuk membuktikan kemampuan bersaing di peringkat kebangsaan.
- Sasaran ditetapkan berdasarkan latihan, pengorbanan dan keupayaan atlet yang telah dipersiapkan menghadapi temasya.
- Kontinjen Perlis terdiri daripada 379 atlet SUKMA dan 54 atlet Para SUKMA; majlis penyerahan bendera di Stadium Tuanku Syed Putra.
- Sukan dijangka penyumbang pingat emas termasuk angkat berat, wushu, silat, taekwondo, sepak takraw dan gimrama.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata sasaran itu bukan satu tekanan, sebaliknya cabaran kepada atlet negeri itu untuk membuktikan kemampuan bersaing di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata sasaran berkenaan berdasarkan latihan, pengorbanan dan keupayaan atlet yang telah dipersiapkan bagi menghadapi temasya tersebut.
“Kerajaan Negeri Perlis amat mengharapkan sasaran 20 pingat ini dapat direalisasikan. Saya ingin berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri dan persatuan-persatuan sukan yang telah berjaya melahirkan atlet-atlet yang mampu menggegarkan SUKMA di Selangor nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perlis Sempena Temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Stadium Tuanku Syed Putra, sini hari ini.
Seramai 379 atlet SUKMA dan 54 atlet Para SUKMA akan membawa cabaran Perlis pada temasya berkenaan.
Antara sukan yang dijangka menjadi penyumbang pingat emas ialah angkat berat, wushu, silat, taekwondo, sepak takraw dan gimrama.
Sementara itu, Temasya Para SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.