
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Mohd Shazli Shaik Mohd dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkuat kuasa 1 Februari ini.
- Mohd Shazli dilantik CEO MFL berkuat kuasa 1 Februari, menggantikan penjawat sementara.
- Pelantikan berdasarkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kepimpinan dan komitmennya.
- Diharap memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia dan selaras hala tuju strategik MFL.
- Berpengalaman luas; pernah COO MFL, ketua unit FMLLP, FAM dan NFDP.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh MFL menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Shazli, yang sebelum ini memangku jawatan tersebut sejak 3 Mac 2025 mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak tempatan khususnya melibatkan aspek operasi pertandingan serta pentadbiran liga profesional.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelantikan Mohd Shazli dibuat berdasarkan keyakinan Ahli Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan serta komitmen yang ditunjukkan beliau ketika memangku jawatan CEO.
“Pengalaman dan dedikasi yang ditampilkan oleh Mohd Shazli sepanjang bersama MFL, khususnya ketika memangku tugas CEO, memberi keyakinan kepada lembaga pengarah bahawa beliau adalah individu paling sesuai untuk menerajui organisasi ini.
“Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia selaras dengan hala tuju strategik MFL, terutama ketika saingan musim 2025-2026 kini memasuki fasa pertengahan,” katanya.
Mohd Shazli bukan nama asing dalam arena pentadbiran bola sepak negara. Beliau merupakan bekas pemain remaja Pulau Pinang dan pernah memegang jawatan Ketua Unit Pertandingan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dari 2015 hingga 2018.
Beliau mula menyertai MFL sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pada 2018 dan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran Liga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Sebelum itu, beliau mengetuai Unit Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2013 hingga 2014, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Bolasepak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dari 2010 hingga 2012.
Beliau juga pernah terlibat dalam pengurusan skuad kebangsaan serta penganjuran pertandingan FAM sepanjang tempoh 2003 hingga 2006.