
PARIS, 18 Mei – Gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) secara rasmi menjulang trofi kejuaraan Ligue 1 buat kali ke-14, namun kegembiraan tersebut sedikit terjejas selepas tewas 1-2 kepada jiran setempat, Paris FC.
- Ousmane Dembele mengalami kecederaan otot, dikeluarkan pada minit ke-30, menggusarkan kem menjelang perlawanan penting UCL menentang Arsenal.
- Alimami Gory, pemain gantian Paris FC, menjaringkan gol penyamaan dan gol kemenangan pada masa kecederaan, memadamkan kegembiraan PSG.
- Slot UCL terakhir milik Lille walau tewas kepada Auxerre; Lyon jatuh ke tangga keempat dan perlu lalui pusingan kelayakan; Marseille isi slot Liga Europa.
Selain itu, pasukan berkenaan turut berdepan tamparan selepas kehilangan bintang utama, Ousmane Dembele akibat kecederaan semalam.
Kekalahan pada perlawanan terakhir musim itu tidak mengubah status PSG sebagai juara bertahan lima kali berturut-turut, namun kecederaan pemenang Ballon d’Or itu mencetuskan kegusaran kepada kem Luis Enrique menjelang aksi akhir Liga Juara Eropah (UCL) menentang Arsenal di Budapest pada 30 Mei ini.
PSG yang menampilkan barisan terkuat di Stade Jean-Bouin terlebih dahulu menerima tamparan apabila Dembele terpaksa dikeluarkan selepas 30 minit permaianan akibat masalah otot.
Meskipun Bradley Barcola meletakkan pelawat di hadapan pada awal babak kedua, pemain gantian Paris FC, Alimami Gory, memadam kegembiraan PSG apabila meledak gol penyamaan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memberikan kekalahan mengejut kepada PSG.
“Saya fikir ia hanya berpunca daripada keletihan. Ia merupakan penghujung musim yang agak sukar buat kami, tetapi sekarang kami mempunyai tempoh dua minggu untuk bersedia menghadapi perlawanan paling penting dalam sejarah kelab,” kata pengendali PSG, Luis Enrique, mengulas mengenai keadaan Dembele.
Sementara itu, slot terakhir ke UCL musim depan mutlak menjadi milik Lille yang menamatkan saingan di tempat ketiga liga, meskipun tewas 0-2 kepada Auxerre.
Skuad kendalian Lille bernasib baik apabila pencabar terdekat mereka, Lyon, gagal mengambil peluang selepas dibelasah 0-4 oleh naib juara liga, Lens.
Keputusan itu menyaksikan Lyon terpaksa akur di tangga keempat dan perlu mengharungi pusingan kelayakan ketiga UCL pada Ogos depan.
Slot ke Liga Europa pula diisi oleh Marseille yang memotong Rennes di tangga kelima menerusi perbezaan gol selepas mencatatkan kemenangan 3-1 di Stadium Velodrome. – AFP