
SERI KEMBANGAN, 28 Mac – Pertubuhan Silat Seni Gayong Naga Sakti Malaysia menggerakkan pelan agresif bagi melahirkan gelombang baharu pesilat negara, dengan SUKMA 2026 sebagai pentas asas sebelum memburu kejayaan di Sukan SEA 2027.
- Liga Remaja Naga Sakti Kebangsaan jadi teras utama saringan dan penggilapan bakat secara sistematik di seluruh negara.
- Liga bermula di Kuala Lumpur pada April, disusuli pusingan di Johor Bahru, Selangor dan Putrajaya untuk fasa pemilihan.
- Program ini bertahan untuk jangka panjang; perancangan telah digerakkan sejak tiga tahun lalu.
- Seramai 30 pesilat dikenal pasti sebagai kelompok elit menjadi tulang belakang, diberi pendedahan kejohanan domestik dan luar negara.
Presidennya, Rizal Husin menegaskan Liga Remaja Naga Sakti Kebangsaan menjadi teras utama pembangunan apabila dijadikan platform saringan dan penggilapan bakat secara sistematik di seluruh negara.
“Untuk tahun 2026, Naga Sakti telah menyusun strategi jelas bagi melahirkan lebih ramai atlet untuk diketengahkan di SUKMA, sebelum disalurkan ke Sukan SEA.
“Kita wujudkan Liga Remaja Naga Sakti Kebangsaan sebagai platform utama untuk membina dan menilai bakat secara berperingkat” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan pada majlis rumah terbuka Pertubuhan silat seni Gayong Naga Sakti Malaysia di Ibu Negara.
Liga berkenaan akan membuka tirai di Kuala Lumpur pada April ini sebelum diteruskan ke Johor Bahru, Selangor dan Putrajaya sebagai fasa akhir pemilihan menjelang SUKMA.
Beliau turut menegaskan program itu bukan bersifat sementara, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang yang telah digerakkan sejak tiga tahun lalu.
“Atlet-atlet ini telah didedahkan di kejohanan domestik dan juga dihantar ke luar negara seperti Thailand dan Indonesia bagi membina pengalaman.
“Kita yakin pendedahan ini akan mematangkan mereka untuk tampil lebih kompetitif di SUKMA nanti,” jelasnya.
Dalam masa sama beliau mendedahkan seramai 30 pesilat telah dikenal pasti sebagai kelompok elit yang akan menjadi tulang belakang program berkenaan.
Dengan struktur pembangunan yang lebih tersusun dan agresif, Naga Sakti kini dilihat serius dalam usaha melahirkan generasi pesilat baharu yang mampu mengangkat kembali reputasi negara di pentas antarabangsa.