Langkah Selangor hapus stigma terhadap atlet para dipuji MPM

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin puji usaha iktiraf atlet Para SUKMA setanding atlet SUKMA./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menyeragamkan insentif bagi pemenang pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) dengan atlet SUKMA.

RINGKASAN BERITA AI
  • MPM memuji Selangor menyeragamkan insentif bagi pemenang Para SUKMA dan SUKMA sebagai langkah keterangkuman.
  • Langkah itu membantu menghapuskan stigma terhadap golongan orang kurang upaya dalam sukan.
  • MPM berharap inisiatif sama dilaksanakan di seluruh negara untuk pengiktirafan atlet para setaraf atlet biasa.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Selangor terhadap keterangkuman sambil membantu menghapuskan stigma yang menyelubungi golongan orang kurang upaya dalam sukan.

Beliau berkata langkah itu juga menunjukkan atlet para wajar diiktiraf setaraf dengan atlet biasa sebagai pesaing berprestasi tinggi yang menyumbang kepada pencapaian negeri.

“Saya rasa beliau (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi) telah melakukan tugas yang amat cemerlang dan kami ingin mengucapkan tahniah kepada beliau.

“Setiap atlet diberikan insentif yang sama dan beliau sedang ke arah itu. Saya menyebutnya sebagai menyingkirkan stigma terhadap golongan orang kurang upaya,” katanya.

Datuk Seri Megat D Shahriman turut menyuarakan harapan agar inisiatif sama dapat dilaksanakan di seluruh negara.

Baru-baru ini, Mohd Najwan berkata Selangor akan menyeragamkan insentif kemenangan bagi atlet Para SUKMA dengan atlet SUKMA dan jumlah insentif itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Para SUKMA 2026 bakal berlangsung di daerah Klang dan Petaling dari 5 hingga 10 September, menawarkan 316 pingat emas merangkumi 10 acara sukan. – BERNAMA