Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa edisi kedua tarik lebih banyak penyertaan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 MacKejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa 2026 edisi kedua mencatatkan peningkatan penyertaan yang memberangsangkan apabila berjaya menarik seramai 722 pemain dari 17 negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa negara peserta termasuk India, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat.
  • Austria, Jordan, Macau dan Rusia mencatat penyertaan sulung dalam kejohanan ini.
  • Penganjuran berjalan teratur dengan tenaga kerja berpengalaman termasuk sukarelawan, delegasi teknikal, jurulatih dan pengadil.
  • Acara bertaraf emas memberi pemain remaja dari Asia dan Eropah peluang memperoleh lebih mata.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah India, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat.

Empat negara iaitu Austria, Jordan, Macau dan Rusia pula mencatat penyertaan sulung dalam kejohanan berkenaan.

Pengerusi penganjur, Syed Kebir berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding edisi sulung pada tahun 2025 yang merekodkan seramai 579 peserta, meskipun berdepan cabaran geopolitik di Asia Barat.

“Persiapan berjalan dengan baik. Kami telah menganjurkan kejohanan remaja selama bertahun-tahun. Dari segi tenaga kerja yang mengendalikan keseluruhan penganjuran kejohanan, kami mempunyai individu yang sangat berpengalaman, termasuk sukarelawan, delegasi teknikal, jurulatih dan pengadil. Segala-galanya berada dalam keadaan teratur.

“Ini merupakan acara bertaraf emas. Pemain remaja yang datang dari seluruh Asia mahupun Eropah akan memperoleh lebih banyak mata apabila beraksi dalam kejohanan ini. Perkara itu menjadi salah satu faktor tarikan utama,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan cek bagi penganjuran Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kejohanan itu akan mempertandingkan enam kategori iaitu Bawah 9 (B-9), Bawah 11 (B-11), Bawah 13 (B-13), Bawah 15 (B-15), Bawah 17 (B-17) dan Bawah 19 (B-19) bagi kategori lelaki dan perempuan.

Juara Kejohanan Skuasy Remaja Pulau Pinang 2025 bagi kategori Bawah 13 Tahun (B-13), Maisarah Mohd Khairul Nizam, turut akan menyertai kejohanan ini.

Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa 2026 dijadualkan berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April.