KBS fokus pembangunan akar umbi lahirkan pelumba bertaraf dunia

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi keutamaan kepada pembangunan bakat sukan permotoran di peringkat akar umbi bagi memastikan negara terus melahirkan pelumba bertaraf dunia pada masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS tumpukan pembangunan bakat sukan permotoran di peringkat akar umbi untuk hasilkan pelumba bertaraf dunia.
  • Kerangka latihan tersusun dan kemudahan litar kondusif membantu menggilap potensi bakat muda sejak awal.
  • Kos pembangunan tinggi jadi penglibatan sektor korporat melalui penajaan amat kritikal demi kelangsungan ekosistem.
  • Kerjasama strategik seperti AEON dengan pasukan perlumbaan bantu lonjak peluang pelumba muda beraksi sepenuh masa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata usaha melahirkan pelapis kepada ikon sukan permotoran negara seperti Hafizh Syahrin merupakan agenda penting demi kesinambungan pencapaian Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, KBS mempunyai kerangka latihan tersusun serta kemudahan litar yang kondusif untuk menggilap potensi bakat baharu seawal usia muda.

“Kita berada di landasan yang tepat dengan keadaan trek dan fasiliti yang baik. Di pihak KBS, kita akan terus menyokong segala usaha untuk mencari dan membina bakat-bakat muda ini.

“Kita mempunyai banyak program di peringkat akar umbi dan latihan tersusun bagi memastikan kita sentiasa mempunyai barisan pelapis yang bersedia untuk diketengahkan,” katanya demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama strategik antara AEON Credit Service dan MSI Racing Team di sini.

Dalam pada itu, Mordi turut mengakui bahawa usaha pembangunan bakat sukan permotoran memerlukan kos yang tinggi dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

Justeru, katanya, penglibatan aktif sektor korporat melalui penajaan dan kerjasama strategik amat kritikal bagi menjamin kelangsungan ekosistem sukan permotoran negara.

“Sukan ini melibatkan rantaian industri yang luas merangkumi aspek kejuruteraan, analisis data dan teknologi, yang mana kosnya bukan murah.

“Kita tidak dapat bergantung dengan dana kerajaan seratus peratus.

“Kerjasama strategik seperti yang ditunjukkan oleh AEON Credit Service bersama pasukan ZK Racing ini adalah model terbaik yang perlu dicontohi syarikat korporat lain demi kemampanan sukan ini,” jelasnya.

Kerjasama tersebut menyaksikan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bakal beraksi sepenuh masa (full season) bagi saingan musim ini, satu langkah penting dalam perkembangan kariernya.