Jelajah Thailand: Pelumba TSG Vadim Pronskiy takluk peringkat ketiga

Pelumba TSG, Vadim Pronskiy mengungguli perlumbaan peringkat ketiga siri Jelajah Thailand./FB Terengganu Cycling Team

KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) terus mendominasi siri Jelajah Thailand apabila muncul juara peringkat ketiga perlumbaan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vadim Pronskiy (Kazakhstan) menewaskan 113 pesaing dengan catatan masa 3 jam 16 minit 13 saat.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Nasiruddin Wan Idrus berkata kejayaan itu catat rekod baharu dan membuka peluang juara keseluruhan musim ini.
  • Laluan 141.6 km panas dan berbukit menyukarkan pelumba; Pronskiy juga menyarung jersi kuning dan jersi polka dot.

Kemenangan tersebut diperoleh menerusi pelumba kelahiran Kazakhstan, Vadim Pronskiy yang menewaskan 113 pesaing daripada 19 pasukan lain dengan catatan masa 3 jam 16 minit dan 13 saat.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja mencatat rekod baharu bagi pasukan, malah meluaskan peluang untuk bergelar juara keseluruhan tahun ini selepas hanya menduduki tempat ketiga pada jelajah sama tahun lepas.

“Perlumbaan sejauh 141.6 kilometer dari Nong Khai ke Nong Saeng hari ini sangat mencabar kerana selain cuaca sangat panas, pelumba juga perlu melalui laluan berbukit serta curam.

“Bagaimanapun, dengan semangat yang kental dan bantuan pelumba lain, Pronskiy mampu meraih gelaran juara, selain menyarung jersi kuning selaku juara keseluruhan peringkat dan jersi polka dot selaku juara bukit,” katanya.

Tempat kedua Jelajah Thailand menjadi milik pelumba dari pasukan Li-Ning Star (China) Eduardo Sepulveda, manakala tempat ketiga dimenangi Daniel Whitehouse daripada pasukan St.George Continental Cycling Team (Australia).

Nasiruddin berkata selain Pronskiy, pelumba TSG kelahiran Perancis Pierre Barbier yang menjuarai peringkat pertama dan kedua Jelajah Thailand sebelum ini turut memenangi jersi hijau selaku juara pecut. – BERNAMA