
PARIS, 24 Februari – Pemain bola sepak Maghribi, Achraf Hakimi bakal berdepan perbicaraan atas tuduhan merogol, menurut pengesahan pihak pendakwa raya Perancis.
- Hakimi menafikan tuduhan rogol dan menegaskan dakwaan itu palsu.
- Pihak pendakwa raya Perancis mengesahkan kes dirujuk untuk perbicaraan.
- Hakimi berazam menunggu perbicaraan untuk membersihkan nama secara terbuka.
Hakimi, 27, yang kini beraksi bersama kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) serta skuad kebangsaan Maghribi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
Dalam satu hantaran di platform X pada Selasa, beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan menegaskan akan menunggu proses perbicaraan bagi membersihkan namanya.
“Hari ini, tuduhan rogol sudah cukup untuk membolehkan seseorang dibicarakan, walaupun saya menafikannya dan segala bukti menunjukkan ia palsu. Ini tidak adil kepada individu yang tidak bersalah dan juga mangsa sebenar. Saya dengan tenang menantikan perbicaraan ini, yang akan membolehkan kebenaran didedahkan secara terbuka,” katanya.
Pejabat Pendakwa Raya Nanterre sebelum ini membuka siasatan pada 2023 susulan satu laporan dakwaan rogol terhadap pemain berkenaan.
Pada Selasa, pihak pendakwa mengesahkan kes tersebut telah dirujuk untuk perbicaraan.
Sementara itu, PSG dijadual berdepan AS Monaco dalam aksi timbal balik pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini. Hakimi disenaraikan dalam skuad awal yang diumumkan minggu lalu.
Bek kanan itu menyertai PSG pada 2021 dari Inter Milan dengan nilai perpindahan sebanyak 68 juta euro, sekali gus menjadikannya pertahanan Afrika termahal ketika itu. Sebelum ini, beliau pernah beraksi bersama Real Madrid dan Borussia Dortmund.
Hakimi yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2025 turut menggalas tugas kapten skuad kebangsaan Maghribi, yang muncul naib juara Piala Negara Afrika yang berlangsung di laman sendiri, Januari lalu.
Sepanjang kariernya, beliau telah memenangi dua gelaran Liga Juara Eropah, lima kejuaraan liga di Perancis dan Itali serta meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 bersama negaranya.-REUTERS