Hakim Danish sah sertai MSI Racing Team untuk saingan Moto3 2026

SEPANG, 25 Oktober – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menerima khabar gembira menjelang Grand Prix (GP) Malaysia 2025 apabila disahkan bakal beraksi sepenuh musim bersama MSI Racing Team dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengumuman rasmi MSI Racing Team mengesahkan Hakim Danish akan beraksi sepenuh musim Moto3 2026.
  • Hakim menyatakan syukur dan berjanji tumpukan latihan keras untuk memperkukuh prestasi di pentas dunia.
  • Dia akan bergandingan dengan Ryusei Yamanaka, menggantikan Angel Piqueras yang naik ke Moto2.
  • Hakim menonjol dalam Red Bull Rookies Cup 2025, menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan.

Perkara itu diumumkan pasukan berkenaan menerusi satu hantaran di akaun media sosial rasmi mereka, hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu menzahirkan rasa syukur atas peluang berharga yang diberikan dan berjanji untuk memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memperkukuh prestasi serta pengalaman di pentas dunia.

2510 SKN HAKIM DANISH KONTRAK MISI 2Hakim Danish Ramli

“Syukur Alhamdulillah, pada tahun hadapan saya akan berlumba sepanjang musim dalam kategori Moto3 Championship bersama pasukan MSI. Saya akan buat yang terbaik dan menjalani latihan keras bagi menghadapi musim depan,” katanya selepas sesi ujian masa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini.

Musim hadapan, pelumba kelahiran Terengganu itu bakal bergandingan dengan Ryusei Yamanaka, menggantikan Angel Piqueras yang akan beralih ke kelas Moto2.

Hakim Danish sebelum ini menampilkan prestasi cemerlang dalam Red Bull Rookies Cup 2025, menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan dengan 171 mata, hanya 65 mata di belakang juara keseluruhan, Brian Uriarte.