
MADRID, 10 Julai- Angka kematian akibat kebakaran hutan di Almeria, selatan Sepanyol meningkat kepada 12 orang selepas enam lagi mangsa ditemukan ketika negara itu berdepan gelombang haba yang mencetuskan cuaca panas melampau.
- Kematian disahkan dalam kebakaran di Los Gallardos oleh Kerajaan Wilayah Andalusia.
- Operasi pemadaman melibatkan kira-kira 150 anggota bomba dan Unit Kecemasan Tentera Sepanyol dikerahkan.
- Gelombang haba memicu amaran cuaca tahap jingga; EFFIS lapor lebih 393,000 hektar terbakar sepanjang 2025.
Kerajaan Wilayah Andalusia dalam satu kenyataan memaklumkan kematian terbaharu itu disahkan dalam kebakaran yang berlaku di Los Gallardos.
Sebelum ini, enam kematian dilaporkan dalam kejadian kebakaran hutan berhampiran Almeria, dengan beberapa mangsa ditemukan di dalam kenderaan.
Operasi memadam kebakaran melibatkan kira-kira 150 anggota bomba, selain disertai Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME) yang dikerahkan bagi menghadapi situasi kecemasan besar.
Kebakaran itu turut menyebabkan beberapa jalan ditutup dan penduduk dipindahkan ke lokasi selamat, dengan kira-kira 50 orang ditempatkan sementara di sebuah pusat kebudayaan.
Menurut saksi, kebakaran dipercayai bermula selepas talian elektrik terputus sebelum api merebak ke kawasan tumbuhan kering dan hutan berhampiran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca sebenar kejadian.
Kejadian itu berlaku ketika beberapa kawasan di Andalusia dilanda gelombang haba dengan suhu tinggi menyebabkan amaran cuaca tahap jingga dikeluarkan iaitu amaran kedua tertinggi.
Sepanyol berdepan peningkatan kejadian gelombang haba sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mewujudkan keadaan kering dan meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), lebih 393,000 hektar kawasan terbakar di Sepanyol sepanjang 2025 menjadikannya tahun paling buruk bagi kebakaran hutan di negara itu dalam sejarah moden. -AFP