
ULASAN BERITA
- PRN Johor mencerminkan kematangan demokrasi dengan penyertaan pelbagai parti dan 172 calon bertanding untuk 56 kerusi Dewan Negeri.
- Undi awal tinggi 94.49 peratus menunjukkan indikator positif kehadiran pengundi dan keyakinan terhadap proses pilihan raya.
- Kerajaan Persekutuan dan Negeri memperkukuh tadbir urus melalui peningkatan perbelanjaan dan projek infrastruktur, menyokong kestabilan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Tatkala tumpuan dunia masih memfokuskan kepada kemeriahan aksi bola sepak Piala Dunia 2026, perhatian semasa beralih ke Johor, untuk hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Esok, lebih 2.7 juta pengundi berdaftar di negeri itu akan menentukan hala tuju, untuk tempoh lima tahun akan datang.
Undi awal Selasa lalu, menunjukkan indikator positif.
19, 471 pengundi awal, atau 94.49 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar, menunaikan tanggungjawab masing-masing.
PRN bukan sekadar pentas rutin demokrasi, tetapi ia medan penting, cerminan kematangan politik, kepercayaan rakyat, serta arah tuju masa depan sesebuah negeri.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding.
Melibatkan parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), MUDA, Parti Orang Asli Malaysia (POA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas untuk mengisi 56 kerusi Dewan Negeri.
Mengenai corak persaingan, tiga pertandingan lima penjuru, 12 pertandingan empat penjuru, 27 pertandingan tiga penjuru dan 14 kerusi satu lawan satu.
Segenap ruang diberikan dengan kepelbagaian penyertaan, sama ada calon berpengalaman, mahu pun golongan muda; memperlihatkan kematangan demokrasi di Malaysia.
Jika menelusuri perkembangan di Johor, komitmen utuh Kerajaan Persekutuan dan Negeri menjadi pemangkin kukuh dalam soal tadbir urus.
Buktinya, perbelanjaan Persekutuan untuk Johor, meningkat daripada RM10.2 bilion pada 2022 kepada RM14.6 bilion pada 2026 – kenaikan melebihi 40 peratus.
Ia meliputi 587 projek Persekutuan, selain pelaksanaan RTS Link yang akan menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, termasuk konflik di Asia Barat yang masih mencari titik noktah, pengundi mengharapkan kesinambungan yang stabil, berbanding perubahan yang tidak menentu.
Keadaan itu membuktikan kepentingan kestabilan dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan.
Ringgit kekal menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini, dipacu aliran masuk pelaburan yang besar serta kekukuhan asas ekonomi Malaysia.
Perkembangan itu turut disokong kestabilan tadbir urus di peringkat Persekutuan, apabila parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengetepikan perbezaan ideologi demi membentuk pentadbiran yang stabil.
Keistimewaan itu membolehkan keputusan penting berkaitan ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Bagaimanapun, seiring meraikan medan demokrasi pelbagai inisiatif digerakkan oleh pelbagai pihak bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Keretapi Tanah Melayu Berhad juga menyediakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan ke selatan, dengan diskaun 20 peratus, melibatkan lebih 7,000 tempat duduk tambahan laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral dan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral ditawarkan.
Menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti mencecah lebih 15,000.
Ini bagi membantu menampung kepulangan lebih 300,000 pengundi luar yang dijangka pulang ke Johor, seperti jangkaan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
NGO juga mengambil inisiatif menyediakan enam bas percuma bagi membawa pulang 240 pengundi dari Kuala Lumpur dan Singapura.
Pengundi juga tidak perlu risau. Keselamatan orang ramai diberi keutamaan. Lebih 11,000 anggota dan pegawai PDRM akan digerakkan.
Buat pengundi kali pertama, saluran dan lokasi pusat mengundi boleh dirujuk di laman web MySPR Semak. Jangan lupa bawa kad pengenalan. Ikut arahan petugas.
Apa juga keputusan, matlamatnya tetap sama, mahu Johor terus maju, makmur dan sejahtera.
Apa yang pasti, PRN Johor membuktikan demokrasi terus berkembang subur, melalui proses pilihan raya, yang memberi ruang, kepada rakyat membuat pilihan, bagi memilih pucuk pimpinan negeri untuk tempoh 5 tahun mendatang.
Kepada pengundi-pengundi di Johor, tunaikanlah tanggungjawab anda, setiap undi amat berharga.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Firdaus Rusli.