Enzo Fernandez mohon maaf, kekal digugurkan aksi lawan Manchester City

Enzo Fernandez / REUTERS

STOKE D’ABERNON, 11 April – Pengurus Chelsea FC, Liam Rosenior, mengesahkan Enzo Fernandez telah memohon maaf susulan kenyataannya mengenai masa depan karier, namun pemain tengah itu tetap tidak akan diturunkan menentang Manchester City, Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enzo Fernandez, 25, menjulang Piala Dunia bersama Argentina.
  • Dia digugurkan daripada skuad suku akhir Piala FA; Chelsea menang 7-0 ke atas Port Vale.
  • Fernandez mencetuskan kontroversi selepas berkata akan menilai masa depan selepas Piala Dunia dan mahu kekal di Madrid.
  • Pengurus Liam Rosenior mengesahkan beberapa perbincangan dengan Fernandez dan isu itu akan ditangani kemudian.

Fernandez, 25, yang menjulang trofi Piala Dunia bersama Argentina, sebelum ini digugurkan daripada skuad bagi aksi suku akhir Piala FA yang menyaksikan Chelsea membelasah Port Vale 7-0, dan sekali lagi tidak akan diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.

Pemain itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyatakan hasrat untuk menilai pilihan masa depannya selepas Piala Dunia serta keinginan untuk menetap di Madrid.

Rosenior mengesahkan telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Fernandez susulan isu tersebut.

“Saya berbincang tiga hingga empat kali dengan Enzo. Dia sudah memohon maaf kepada saya dan kelab, dan kami akan menangani perkara ini selepas perlawanan besar Ahad ini,” katanya kepada media.

Fernandez sebelum ini turut menggalas tugas kapten ketika ketiadaan Reece James yang mengalami kecederaan.

Chelsea kini menghuni tangga keenam liga dengan 48 mata daripada 31 perlawanan.-REUTERS