Ee Wei semakin pulih, sedia bawa cabaran negara di BAC 2026

Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei ditemui pemberita semasa menjalani sesi latihan di ibu negara/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 April – Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei menarik nafas lega apabila semakin pulih daripada kecederaan otot perut untuk kembali bergandingan dengan Chen Tang Jie menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengalami kecederaan otot perut akibat intensiti latihan, dianggap ringan dan bukan sesuatu yang membimbangkan.
  • Tahap kecergasan kini sekitar 70 peratus dan semakin pulih walaupun belum mencapai tahap terbaik.
  • Tidak menjalani latihan penuh minggu lalu tetapi tetap optimis dapat mendapatkan semula rentak permainan dan berikan yang terbaik.

Pasangan ranking keempat dunia itu sebelum ini berdepan gangguan persiapan susulan kecederaan ringan dialami Ee Wei ketika latihan.

Menurut Ee Wei, tahap kecergasannya kini semakin meningkat meskipun belum berada pada tahap terbaik.

“Saya mengalami sedikit kecederaan otot perut kerana intensiti latihan sejak beberapa minggu lalu. Sekarang saya berada sekitar 70 peratus pulih.

“Ia bukan sesuatu yang membimbangkan. Kecederaan memang sebahagian daripada atlet. Perkara yang paling penting adalah bagaimana saya mengatasinya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di ibu negara.

Sementara itu, Ee Wei tetap optimis mampu mendapatkan semula rentak permainan bersama Tang Jie menjelang kejohanan itu.

“Saya tidak menjalani latihan penuh minggu lalu dan hanya melakukan apa yang mampu. Harapnya apabila turun ke gelanggang, saya dapat berikan yang terbaik,” tambahnya.

Tang Jie-Ee Wei dijadual membuka kempen menentang pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi pada aksi yang berlangsung di Ningbo Olympic Sports Centre, China bermula 7 hingga 12 April depan.