
ISTANBUL, 6 Jun – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Turkiye, Tom Barrack pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada kakitangan kedutaannya atas usaha mereka memproses visa bagi pasukan bola sepak kegangsaan Iran, lapor Agensi Anadolu (AA).
- Penekanan pada perpaduan dan kepentingan budaya dalam sukan serta mengalu-alukan peserta dan peminat dari seluruh dunia.
- Pemain Iran menerima permit kemasukan ke AS kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pembukaan.
- Visa menjadi kebimbangan utama; pasukan berpangkalan di Tijuana sementara semua perlawanan Kumpulan G berlangsung di AS.
“Bangga dengan pasukan luar biasa kami di Kedutaan AS di Ankara atas usaha mereka memproses visa untuk pasukan bola sepak kebangsaan Iran dalam perjalanan mereka ke @FIFAWorldCup di Amerika Syarikat,” tulis beliau di platform media sosial X.
Beliau turut menekankan perpaduan dan kepentingan budaya dalam sukan sambil berkata bahawa “sukan melangkaui sempadan, dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan para peserta serta peminat dari seluruh dunia.”

Laporan media terdahulu memetik seorang pegawai White House yang berkata bahawa pemain Iran telah menerima permit kemasukan ke AS kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pembukaan mereka di Los Angeles.
Isu visa berkenaan menjadi antara kebimbangan utama Iran menjelang Piala Dunia. Walaupun pasukan itu dijangka berpangkalan di Tijuana, Mexico, kesemua tiga perlawanan Kumpulan G mereka akan berlangsung di AS.
Iran telah mengadakan kem latihan pra-Piala Dunia di bandar peranginan Antalya, Turkiye sejak 19 Mei lalu. – BERNAMA-ANADOLU