
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pemain tenis kebangsaan, Daania Daniella Abdul Hazli melengkapkan kejayaan berganda apabila muncul juara perseorangan dan beregu wanita pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur 2026 di Pusat Tenis Nasional, hari ini.
- Menewaskan rakan senegara Iman Syuhada Abdullah 6-0, 6-3 dalam perlawanan akhir perseorangan wanita.
- Menang gelaran beregu wanita bersama Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman.
- Kejohanan membantu beliau kekal cergas dan memberi keyakinan untuk persiapan menghadapi SUKMA.
- Mitsuki Leong menjuarai perseorangan lelaki buat kali pertama, menewaskan Darrshan Suresh Kumar 6-2, 6-2.
Daania menewaskan rakan senegara, Iman Syuhada Abdullah 6-0, 6-3 pada perlawanan akhir perseorangan wanita dengan mempamerkan persembahan tenang untuk menamatkan perlawanan dalam dua set.
Kemenangan itu menyusul sehari selepas beliau dinobatkan sebagai juara beregu wanita bersama gandingannya, Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda.
Atlet Wilayah Persekutuan itu berkata, kejohanan berkenaan menjadi platform terbaik untuk beliau mengekalkan tahap kecergasan dan daya saing sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Sukan Malaysia (SUKMA).
“Kejohanan ini membantu saya kekal bersedia dan memberi keyakinan untuk menghadapi cabaran seterusnya, khususnya SUKMA,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, pemain tenis profesional lelaki nombor satu negara, Mitsuki Leong, merangkul gelaran perseorangan lelaki Terbuka Kuala Lumpur buat kali pertama selepas menewaskan Darrshan Suresh Kumar 6-2, 6-2.