Badminton Dunia 2025: Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan ketiga

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan perjuangan ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov.

Pada pertemuan yang berlangsung di Adidas Arena, gandingan Wei Chong-Kai Wun berjaya mampamerkan aksi meyakinkan untuk menguasai set pertama dengan kemenangan 21-15.

Bagaimanapun pasangan adik beradik Popov tampil dengan aksi lebih agresif di set kedua.

Percaturan taktikal yang lebih baik dipamerkan mereka memberi tekanan kepada gandingan negara apabila tumpas 13-21.

Aksi set penentuan pula menyaksikan pertarungan sengit kedua-dua beregu apabila saling mengejar mata sebelum Wei Chong-Kai Wun menutup perlawanan dengan keputusan 21-19 dalam tempoh keseluruhan 65 minit.

Mereka dijadual bertemu gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan ketiga.